Agenda reformasi kerajaan tekad politik bantu rakyat - Anwar

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Agenda reformasi yang dilaksanakan Kerajaan Madani ketika ini merupakan tekad politik untuk membantu golongan rakyat yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang politik mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengambil contoh Sumbangan Tunai Rahmah (STR), beliau berkata, kerajaan menyediakan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini berbanding RM8 bilion tahun lepas, yang memanfaatkan sembilan juta rakyat untuk meringankan beban mereka.

"(Selain itu) Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kita tambah lima kali ganda daripada RM130 juta tahun lalu kepada RM700 juta, (manakala) bantuan untuk murid sekolah, dari darjah satu sampai tingkatan lima semua pelajar Melayu, pelajar Cina dan pelajar India, termasuk di Sabah dan Sarawak dapat, dengan jumlahnya untuk tahun 2024 ialah RM800 juta,” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian, semasa menyampaikan Amanat Presiden sempena Konvensyen 25 Tahun PKR, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan juga menjaga kebajikan penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), dengan cadangan penambahbaikan yang akan diumumkan 1 Mei nanti.

Perdana Menteri berkata, oleh sebab itu kerajaan melaksanakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU), untuk membantu kerajaan memberikan bantuan kepada yang layak.

"Ini yang dikatakan reform. Saya nak nasihatkan kawan-kawan yang bicara dan agak sinis terhadap reform, reform ni dalam erti kata apa manfaat kepada golongan miskin, pekerja ladang, nelayan di kampung, pekebun kecil Melayu, India di estet, penjawat awam, ini yang mesti disampaikan dan ini memerlukan reform,” katanya.

Selepas konvesnyen khas itu, kemuncak sambutan Jubli Perak penubuhan PKR akan diadakan pada 11 Mei ini, pada program Malam Sambutan 25 Tahun Keadilan di Sentul Depot, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Sambutan itu, dijadual berlangsung sepanjang hari dengan acara kemuncaknya penyampaian Amanat Presiden.