58 terkorban, bot karam di Afrika Tengah

Bot kayu ini sedang menuju ke acara pengebumian ketua kampung di Makolo - kira-kira 45 kilometer (28 batu) dari Bangui, namun mengalami kesukaran sejurus berlepas dari jeti. - Foto AFP
Bot kayu ini sedang menuju ke acara pengebumian ketua kampung di Makolo - kira-kira 45 kilometer (28 batu) dari Bangui, namun mengalami kesukaran sejurus berlepas dari jeti. - Foto AFP
A
A
A

BANGUI - Sekurang-kurangnya 58 orang maut selepas bot yang sarat muatan dinaiki mereka terbalik di Sungai Mpoko di ibu negara Republik Afrika Tengah Bangui, kata ketua perlindungan awam pada Sabtu.

"Kami dapat mengeluarkan 58 mayat tidak bernyawa. Kami tidak tahu jumlah mangsa yang berada di bawah air," kata Thomas Djimasse kepada Radio Guira.

Menurut saksi dan video di media sosial, bot kayu itu membawa lebih 300 orang dengan ada yang berdiri dan yang lain bertenggek di atas struktur kayu ketika ia karam di Sungai Mpoko pada Jumaat.

Bot itu sedang menuju ke acara pengebumian ketua kampung di Makolo - kira-kira 45 kilometer (28 batu) dari Bangui, namun mengalami kesukaran sejurus berlepas dari jeti.

Kerajaan tidak bertindak balas pada Sabtu tetapi dalam ucapan yang dirakamkan pada Jumaat dan disiarkan sehari kemudian, jurucakap kerajaan Maxime Balalou melaporkan 'ketika ini sekurang-kurangnya 30 orang mati.'

Republik Afrika Tengah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai negara kedua paling kurang membangun di dunia.

Perang saudara telah melanda bekas tanah jajahan Perancis itu sejak pakatan bersenjata yang didominasi Muslim yang dipanggil Seleka menggulingkan bekas Presiden Francois Bozize pada 2013. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: