Bekas ahli ciplak strategi untuk ‘tembak’ PKR - Rafizi

Rafizi berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini. Foto Bernama
Rafizi berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pembangkang khususnya bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggunakan strategi yang dibina sejak 25 tahun lalu untuk ‘menembak’ kembali parti.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, kemahiran demonstrasi, ceramah dan penggunaan media sosial yang dimulakan parti berkenaan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak lawan dan PKR bukan lagi dominan sebagaimana dahulu.

Sedangkan katanya, kekuatan berkenaan membolehkan PKR bertahan lama sehingga diangkat oleh rakyat.

“Perkara ini tidak dilatih secara tersusun tapi berlaku secara semulajadi. Contohnya, kemahiran kita membuat demonstrasi. Ia dibina PKR sehingga berjaya membawa satu budaya dan pada akhirnya memuncak kepada siri demonstrasi Bersih kira-kira 10 tahun lepas.

“Selain itu, sebelum reformasi, ceramah politik biasanya hambar dan isunya hanya sama. Kita mula menyajikan kupasan isu-isu semasa dalam bentuk cadangan dasar yang boleh mengubah keadaan dan yang lebih popular kepada kita adalah pendedahan kepincangan kerajaan terutamanya skandal kerajaan.

“Satu lagi kekuatan yang kita ada sejak 1998 adalah media alternatif, dengan membina laman reformasi dan media sosial. PKR adalah yang paling awal menggunakan Facebook sebagai pentas ceramah seawal 2010,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Tambah Rafizi, kekuatan PKR dalam menguasai kemahiran ini berdepan dengan cabaran baharu kerana sebahagian besar pimpinan kini berada dalam kerajaan.

Jelasnya, pimpinan kerajaan terikat dengan dasar, kerahsiaan dan peraturan pentadbiran yang perlu dipatuhi.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita tak berhati-hati, kita akan terus jadi defensif kerana pimpinan utama kerajaan tidak boleh terlalu ofensif bagi mengimbangi tugas kita sebagai kerajaan dan pimpinan parti.

“Sebab itu sekarang ini kemahiran itu diciplak oleh orang lain terutamanya yang pernah berada dalam PKR untuk tembak kita,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!