Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut nahas tiga kenderaan

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM 0.5 Lebuhraya Link Kedua arah Selatan pada Sabtu. - Foto: IPD Iskandar Puteri
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM 0.5 Lebuhraya Link Kedua arah Selatan pada Sabtu. - Foto: IPD Iskandar Puteri
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di kilometer (KM) 0.5 Lebuhraya Link Kedua arah Selatan pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 8.50 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis Honda Civic bergerak perlahan di lorong kanan dan berhenti kerana kesesakan lalu lintas sebelum dirempuh sebuah motosikal jenis vespa Piaggio dari arah belakang.

“Selang beberapa minit kemudian, dari arah sama datang sebuah motosikal jenis Kawasaki Ninja EX650 turut merempuh bahagian belakang kereta yang sama menyebabkan penunggangnya tercampak dan maut di lokasi kemalangan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa yang maut merupakan lelaki warga tempatan berusia 28 tahun manakala pemandu kereta juga seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan namun penunggang vespa jenis Piaggio mengalami luka di bahagian kaki.

"Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

"Justeru, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hafizzuddin Hamdan atau menghubungi BSPTD Iskandar Puteri di talian, 07-5101322," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: