Bahasa asing alat komunikasi rentas budaya

Gambar dari kiri: Azrey, Nur Iqra
Gambar dari kiri: Azrey, Nur Iqra
A
A
A

SHAH ALAM - Kemahiran bertutur dalam bahasa asing sudah menjadi tarikan masa kini kerana mampu menjadi alat komunikasi rentas budaya dan memperluas peluang pekerjaan kepada mereka yang menguasainya.

Pekerja swasta, Azrey Hendery, 23, berkata, kelebihan menguasai bahasa asing adalah memberi peluang kepada individu mendapat lebih ramai kenalan atau mengenali lebih mendalam budaya sesuatu kaum dari dalam dan luar negara.

“Lebih menguntungkan, kebolehan ini merupakan salah satu syarat ditawarkan kebanyakan syarikat besar dengan kadar gaji tinggi kepada pekerja. Jadi, ia merupakan peluang kepada anak tempatan untuk mendapat pekerjaan terbaik.

“Saya kuasai sembilan bahasa iaitu Sungai, Jepun, Melayu, Inggeris, Mandarin, Jepun, Sepanyol, Indonesia buat masa ini dan masih dalam proses mempelajari bahasa Korea serta Rusia,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Azrey, untuk menguasai sesuatu bahasa bukan mudah tetapi sekiranya dilakukan secara konsisten, ia akan membuahkan hasil pada masa akan datang.

“Banyak sebenarnya kelebihan yang boleh kita dapat apabila kuasai lebih daripada satu bahasa selain bahasa Ibunda kita. Luangkan masa sekurang-kurang satu jam sehari sudah membolehkan kita kuasa beberapa perkataan atau ayat asas.

“Saya habiskan masa antara satu hingga dua jam setiap kali iaitu tiga ke empat hari seminggu sebelum tidur untuk belajar menerusi Youtube kerana lebih mudah untuk difahami berbanding menggunakan buku,” jelas Azrey.

Sementara itu, pekerja swasta, Nur Iqra Ahmad Basri, 25, berkata, kemahiran bertutur dalam bahasa asing menjadikan individu lebih menyerlah daripada orang lain kerana memiliki kelebihan berbeza.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, minat terhadap bahasa Korea mendorong beliau untuk mendalami dan memahami sendiri sebelum menyertai pertukaran pelajar ke Universiti Kebangsaan Jeonbuk, Jeoju, Korea Selatan.

“Saya meminati bahasa Korea dan belajar sendiri sejak 2014 dengan mengenali abjad terlebih dahulu. Ketika di sana (Korea) saya mula mempelajari kaedah membina ayat dan memperbaiki tatabahasa sehingga lama-kelamaan saya boleh bercakap serta memahaminya tanpa terjemahan.

“Bukan mudah untuk saya kuasai kerana belajar sendiri tetapi itu bukan alasan. Saya jadikannya sebagai cabaran serta pembakar semangat untuk kuasai bahasa itu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!