MITI pantau rapat situasi di Timur Tengah

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

RAWANG - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memantau dengan teliti laporan mengenai konflik di Timur Tengah yang berkemungkinan meningkatnya ketegangan di rantau berkenaan.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, penghantaran melalui laluan perkapalan di Laut Merah 'masih agak tenang pada masa ini'.

"Bagaimanapun, harga minyak akan terjejas sekiranya keadaan semakin meruncing kerana laluan itu merupakan laluan utama untuk eksport minyak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis memulakan pembinaan fasiliti pembuatan baharu MCE Holdings Bhd (MCE), iaitu MCE Auto Hub, di Taman Pembuatan Bernilai Tinggi Serendah, Selangor.

Pada masa ini, penanda aras harga minyak mentah Brent meningkat 0.31 peratus kepada AS$87.38 setong manakala minyak mentah WTI naik 0.47 peratus kepada AS$83.12 setong.

Terdapat kebimbangan bahawa dengan meningkatnya konflik di antara Iran dan Israel boleh menyebabkan ketidakstabilan di rantau Teluk Parsi dan mengganggu laluan perkapalan, hingga boleh memutuskan bekalan di antara Eropah dan Asia, termasuk Malaysia.

MCE Auto Hub yang akan ditubuhkan oleh anak syarikat milik penuh MCE, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd kini sedang memulakan pembinaan fasa pertamanya dengan pelaburan awal RM50 juta di tanah seluas 3.24 hektar.

Multi-Code Electronics ialah pengeluar peralatan tulen (OEM) yang mengkhusus dalam bahagian elektronik automotif dan mekatronik.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, pembangunan MCE Auto Hub adalah bukti kerajaan dan dasar strategik MITI untuk mendorong ke arah pertumbuhan dan inovasi dalam sektor automotif Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Pembangunan MCE Auto Hub akan terus menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif, yang kini menyumbang kira-kira RM40 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, sambil menyediakan 700,000 pekerjaan.

"Pencapaian penting ini menandakan permulaan rancangan 10 tahun untuk mengukuhkan kedudukan MCE dalam elektronik automotif, apabila industri automotif semakin beralih ke era kenderaan elektrik (EV),” tambahnya.

Dengan komitmen MCE terhadap pelaburan keseluruhan di antara RM150 juta hingga RM200 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang, syarikat itu bersedia untuk terus mendahului kemajuan teknologi, kata Tengku Zafrul.

"Kemudahan baharu ini juga akan meningkatkan keupayaan pengeluarannya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi komponen dan sistem elektronik yang lebih canggih untuk kenderaan EV dan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, pembinaan fasa pertama kemudahan baharu itu dijangka siap menjelang akhir tahun, dengan operasi dijadualkan bermula pada 2025.

"Pelaburan itu menandakan matlamat kami untuk menerajui pembekalan peralatan elektronik automotif dan mekatronik di rantau ini, memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam industri elektrik dan elektroniknya yang sangat mantap, meningkatkan kapasiti kami bagi membekalkan produk canggih yang direka, dihasilkan dan dibuat di Malaysia. - Bernama