Filipina tingkat hubungan AS, Jepun

Kapal Pengawal Filipina dan Pengawal AS belayar semasa mengadakan latihan menyelamat di luar Laut China Selatan. Foto AFP
Kapal Pengawal Filipina dan Pengawal AS belayar semasa mengadakan latihan menyelamat di luar Laut China Selatan. Foto AFP
A
A
A

MANILA - Keputusan Filipina untuk meningkatkan hubungan diplomatik dengan Jepun dan Amerika Syarikat (AS) semasa sidang kemuncak baru-baru ini adalah 'pilihan berdaulat' bagi negara itu.

Presiden AS, Joe Biden menjadi tuan rumah kepada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Washington minggu lalu di mana ketiga-tiga pemimpin itu bersama-sama menyatakan 'kebimbangan serius' mereka terhadap tindakan agresif China di Laut China Selatan.

Kementerian Luar Filipina berkata, kumpulan tiga hala itu akan menggalakkan keamanan dan pertumbuhan ekonomi di Indo-Pasifik, tetapi tuntutan maritim yang berlebihan dan tingkah laku agresif China akan menjejaskan kestabilan di rantau itu.

"Punca ketegangan di rantau ini telah diketahui semua pihak. China harus memikirkan tindakannya sendiri di Laut China Selatan," kata kementerian itu.

Jurucakap kementerian luar China, Mao Ning berkata, minggu lalu ia menentang 'pembentukan pakatan eksklusif' dan sebarang 'tindakan tersebut akan mencetuskan ketegangan serantau".

Mao menuduh AS cuba mencetuskan mentaliti 'Perang Dingin' yang mengancam pesaing dengan bergabung dengan sekutu serantau.

"Tuduhan tidak wajar untuk mencetuskan Perang Dingin dan menyalahkan tujuan damai kerjasama tiga hala ini sebagai tidak bertanggungjawab," kata Manila.

Hubungan antara Manila dan Beijing semakin tegang sejak setahun lalu berikutan serangan kapal Pengawal China di beting yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

Artikel Berkaitan:

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan. Tuntutan itu bertindih dengan perairan yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!