Tahanan Palestin di penjara Israel meningkat 130 peratus

Tahanan warga Palestin menaiki trak tentera Israel sebelum dimasukkan ke penjara tentera Ofer di Tebing Barat. - Foto Agensi
Tahanan warga Palestin menaiki trak tentera Israel sebelum dimasukkan ke penjara tentera Ofer di Tebing Barat. - Foto Agensi
A
A
A

GAZA - Seorang pegawai Palestin memaklumkan jumlah bilangan tahanan rakyat Palestin di penjara Israel sejak 7 Oktober tahun lalu telah meningkat sebanyak 130 peratus.

Bercakap kepada Agensi Anadolu, Ketua Pihak Berkuasa Hal Ehwal Banduan dan Bekas Banduan, Qaddoura Fares menyifatkan situasi tahanan Palestin di penjara Israel sebagai 'malapetaka dan amat berbahaya'.

Malah, beliau memberitahu, tahanan terdedah kepada penyeksaan dan serangan sistematik, dengan 'perjalanan penyeksaan bermula dari saat serbuan masuk ke dalam rumah dan menyerang tahanan, keluarga serta mensabotaj harta rumah'.

Menurutnya, musim sejuk sebelum ini adalah tempoh paling sukar bagi tahanan kerana pihak berkuasa penjara Israel melucutkan pakaian, selimut serta kerap menanggalkan pakaian mereka.

“Tiada siapa yang tahu jumlah (sebenar) tahanan dari Gaza... ini hanya jangkaan. Tetapi apa yang didokumenkan mengenai tahanan di penjara Israel mencecah 9,500,” katanya.

Fares menambah, bilangan tahanan Palestin di penjara Israel sebelum 7 Oktober adalah hampir 5,000, namun kini jumlahnya dijangka mencecah 12,000, termasuk tahanan dari Gaza.

Beliau turut menyatakan dalam kalangan tahanan itu, terdapat kira-kira 80 orang wanita, lebih 200 kanak-kanak dan hampir 4,000 ditahan di bawah tahanan pentadbiran Israel tanpa tuduhan atau perbicaraan.

Sementara itu, dua agensi kemanusiaan iaitu Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Persatuan Banduan Palestin dan Persatuan Sokongan Hak Asasi Tahanan Addameer mengeluarkan satu kenyataan bagi memperingati Hari Tahanan Palestin yang jatuh pada 17 April.

Artikel Berkaitan:

“Angka itu tidak termasuk rakyat Palestin yang ditahan oleh tentera Israel di Gaza. Lebih 40 kanak-kanak dan 20 wanita ditahan secara pentadbiran tanpa perbicaraan atau pertuduhan,” lapor kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut antara yang ditahan ialah 3,660 rakyat Palestin yang ditahan tanpa perbicaraan atau pertuduhan di bawah dasar penahanan rejim Israel.

Terdapat 56 wartawan ditahan di penjara Israel termasuk empat wartawan wanita, lapor kenyataan itu. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!