'Ia dakwaan paling pelik di dunia' - Tuan Ibrahim nafi ambil wang Bersatu

Tuan Ibrahim beramah mesra dengan tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.
Tuan Ibrahim beramah mesra dengan tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.
A
A
A

KOTA BHARU - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan beliau antara pemimpin Pas yang mengambil wang Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tuan Ibrahim turut memberitahu belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut.

"Ia dakwaan paling pelik di dunia. Saya akan teliti dakwaan itu dan setakat ini tiada apa yang berlaku," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.

Tuan Ibrahim bersalaman dengan tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.
Tuan Ibrahim bersalaman dengan tetamu yang menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Muhammad IV.

Perkara itu tular di media sosial susulan dakwaan oleh individu yang mendakwa beliau adik kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti.

Individu itu mendakwa Tuan Ibrahim menjadi individu pertama dari Pas mengambil wang milik Bersatu selain turut menamakan seorang lagi pemimpin Pas yang berbuat demikian.

Sementara itu, dalam perkembangan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Tuan Ibrahim memberitahu, Pas menjangkakan keputusan calon bagi Perikatan Nasional (PN) ialah pada Isnin atau Selasa depan.

"Kita akan membantu kempen untuk menang pada PRK itu walau siapa pun yang bertanding," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, kemenangan Pas di beberapa DUN di Selangor meyakinkan PN bahawa boleh mencapai kemenangan di Kuala Kubu Baharu.

"Ada yang kata ia kubu kuat DAP tetapi saya rasa sekarang sudah tidak ada 'kubu'. Kita yakin boleh menang berdasarkan isu ekonomi dan keadaan rakyat," katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, mendiang yang menjadi ADUN sejak 2013 bertanding atas tiket PH-DAP.

Kee Hiong menewaskan Teoh Kien Hong daripada PN-Gerakan dengan majoriti 14,862 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!