Tarif air Perak naik 5 sen mulai 1 Mei

Kerajaan negeri Perak mengumumkan tarif baharu dengan peningkatan 5 sen iaitu 75 sen setiap meter padu berbanding hanya 70 sen ketika ini. Gambar hiasan Bernama
Kerajaan negeri Perak mengumumkan tarif baharu dengan peningkatan 5 sen iaitu 75 sen setiap meter padu berbanding hanya 70 sen ketika ini. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengumumkan tarif baharu dengan peningkatan 5 sen iaitu 75 sen setiap meter padu berbanding hanya 70 sen ketika ini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak, tarif baharu itu akan berkuat kuasa bermula 1 Mei depan.

Menurut kenyataan tersebut, kenaikan 5 sen itu melibatkan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan manakala caj bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini.

"Dengan kenaikan 5 sen, penetapan kadar tarif air baharu air di Perak adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Penetapan tarif baharu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat," jelas kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan iaitu bersamaan RM4 sebulan.

Melalui rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

Katanya, caj minimum bagi penggunaan domestik pula ditetapkan sebanyak RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat dan setelah mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM3.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu untuk pengguna bukan domestik pula melibatkan kenaikan sama iaitu 5 sen bagi setiap meter padu penggunaan.

"Kerajaan negeri telah memutuskan supaya LAP memanfaatkan sebaiknya penetapan tarif baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya termasuk menggantikan paip-paip lama dan menambah baik aspek penyelenggaraan.

"Dalam hubungan itu, LAP memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program-program penambahbaikan termasuk membina loji-loji rawatan air khususnya di kawasan-kawasan pembangunan baharu," katanya.

Penetapan baharu tarif air bagi negeri Perak itu dilaksanakan selepas 18 tahun apabila kali terakhir pindaan dilakukan pada tahun 2006.

Sebelum ini beberapa kerajaan negeri mengumumkan kadar baharu tarif air susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.

Antara yang sudah mengumumkan tarif baharu bagi penggunaan domestik termasuklah Terengganu dan Melaka dengan kenaikan 16 sen setiap meter padu, Selangor (50 sen), Kelantan (23 sen), Johor (25 sen), Negeri Sembilan (16 hingga 24 sen) dan Pulau Pinang (28 sen).

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28