Mitos dan salah tanggapan terhadap vaksin influenza

Seorang pakar perubatan menjelaskan peri penting ibu hamil dapatkan suntikan pencegahan

SELESAMA akibat virus influenza bukanlah seperti selesama biasa.
SELESAMA akibat virus influenza bukanlah seperti selesama biasa.
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, berita mengenai peningkatan kes jangkitan influenza dalam kalangan kanak-kanak waima orang dewasa menjadi isu yang sedang hangat diperkatakan.

Keadaan menjadi semakin kalut apabila seorang doktor swasta membuat pendedahan kononnya vaksin influenza semakin susut.

Kenyataan pakar perubatan itu ternyata bukan omongan kosong.

Buktinya, pada Jumaat lalu, ketika penulis mahu mendapatkan vaksin berkenaan, jururawat yang mahu menyuntik di tangan kiri penulis seraya berkata: "Puan memang bernasib baik sebab vaksin tinggal sikit sahaja. Alhamdulillah, rezeki puan."

Hal itu membuatkan penulis spontan bertanya: "Di hospital besar macam ni pun vaksin dah habis ke?"

Jawabnya: "Cukup, namun jumlah pesakit yang dapatkan vaksin naik mendadak secara tiba-tiba. Ada yang mengambil langkah berjaga-jaga, namun tidak kurang juga yang sudah terlambat.

Memang kasihan, kebanyakan mereka terutama budak-budak positif influenza.

" Senario itu membuatkan penulis terus terfikir tentang sejumlah anak buah penulis yang masih kecil di kampung. Kebimbangan berlumut dalam hati penulis selepas dimaklumkan mereka masih belum berkesempatan mendapatkan vaksin, namun mengakui pihak sekolah sedang mengambil langkah pencegahan.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu memang satu keperluan memandangkan beberapa buah sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan Perak ditutup.

Lebih menyedihkan, seorang kanak-kanak sudah dilaporkan meninggal dunia di Johor semalam. Sebenarnya, vaksin influenza bukan hanya perlu diambil oleh kanak-kanak malah semua individu terutamanya wanita hamil.

Pun demikian, masih terdapat suara-suara aneh yang menyuarakan mitos yang tidak masuk akal terhadap keperluan ibu hamil mengambil vaksin berkenan.

Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, MedTweetMY, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak juga hairan dengan senario tersebut.

Dr Muhammad Izzat berkata, wanita mengandung memang sangat disaran mendapatkan suntikan vaksin.

"Saya akan sentiasa memastikan semua ibu hamil menerimanya (suntikan vaksin influenza) kerana jangkitan akan menjadi lebih serius jika melibatkan ibu hamil berbanding individu lain (yang tidak hamil)," katanya kepada Sihat:Aktif baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, vaksin tersebut bukan sahaja untuk ibu, malah bayi di dalam kandungan tersebut turut dilindungi.

Apakah mitos-mitos yang sering dibangkitkan mengenai keburukan vaksin influenza oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab?

Dr Muhammad Izzat menyenaraikannya dengan harapan para ibu mengandung yang disasarkan tidak mudah percaya!

Mitos 1-Vaksin influenza akan membahayakan bayi

Hakikatnya, vaksin tersebut kata Dr Muhammad Izzat, mempunyai rekod keselamatan yang bagus dan tidak mempunyai perkaitan risiko bahaya untuk ibu hamil dan bayi.

"Kajian menunjukkan jika ibu mengandung mendapat jangkitan influenza, mereka berpotensi mendapat komplikasi yang teruk seperti bronkitis dan pneuomnia iaitu jangkitan pada paru-paru.

"Ada juga yang akan mendapat jangkitan di telinga, sepsis (jangkitan bakteria yang disebarkan melalui darah), meningitis (infeksi yang menyebabkan radang selaput di sekitar otak dan sumsum tulang belakang) dan encephalitis iaitu jangkitan pada bahagian otak," katanya.

Mitos 2-Tidak boleh lewat mengambil vaksin

Vaksin influenza sebenarnya selamat untuk dicucuk pada bila-bila masa di semua peringkat kehamilan. Tiada istilah ‘terlambat’ untuk mengambil vaksin pun.

Justeru, kepada wanita hamil, tidak kisah kondisi sudah tiga, lima atau tujuh bulan, segeralah mendapatkan vaksin lebih-lebih dalam keadaan genting sebegini.

Mitos 3-Selesema boleh baik dengan sendirinya

Influenza atau flu sering disalahertikan sebagai selesema biasa. "Hakikatnya, ia merebak melalui batuk dan bersin serta boleh menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa kerana boleh menyebabkan kematian," kata Dr Muhammad Izzat.

Mitos 4-Selepas disuntik vaksin, si ibu akan selesema

Vaksin influenza mengandungi jenis virus yang telah dilemahkan atau virus yang telah dibunuh. Virus-virus jenis itu tidak boleh menyebabkan si ibu selesama sama sekali.

Mitos 5-Enggan ambil vaksin sekali lagi

Seringkali kedengaran kononnya, wanita mengandung tidak perlu mengambil semula vaksin kerana sudah menerimanya pada tahun-tahun sebelumnya. "Virus yang menyebabkan influenza akan berubah-ubah setiap tahun. Ini bermakna, vaksin pada tahun lepas, berkemungkinan juga tidak akan sama pada tahun ini dan juga tahun-tahun akan datang.

Walaupun vaksin telah diambil pada tahun lepas dan ibu yang disahkan hamil pada tahun ini, mereka tetap disarankan mengambil semula," katanya.



DR Muhammad Izzat.
DR Muhammad Izzat.

PROFIL

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak

Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan

MedTweetMY