Isu afidavit tambahan: Pemuda Kota Raja desak MKT nyatakan pendirian

Ahmad Zahid sebelum ini dilapor mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Gambar kecil: Mohd Zaffarollah
Ahmad Zahid sebelum ini dilapor mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16. Gambar kecil: Mohd Zaffarollah
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja mendesak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk menyatakan pendirian dan membuat satu mesyuarat khas berkenaan isu afidavit tambahan yang diikrarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Pemudanya, Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata, perbincangan tersebut perlu dibuat bagi memurnikan keadaan kerana tindakan merahsiakan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu amat menyedihkan terutamanya dalam kalangan ahli parti dan rakyat di negara ini.

“Menerusi afidavit berkenaan, Ahmad Zahid telah dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai Titah Adendum yang secara jelas menyatakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani hukuman tahanan rumah dan bukannya pemenjaraan di Penjara Kajang.

“Ahmad Zahid memaklumkan pemimpin kanan UMNO dan anggota kerajaan juga telah melihat Titah Adendum berkenaan yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Kezaliman dan penderhakaan kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab merahsiakan serta melanggar titah Agong dengan membenarkan negarawan berusia 71 tahun terbabit menjalani hukuman di rumah sepertimana termaktub dalam Titah Adendum,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum terbabit adalah supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.

Ahmad Zahid menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca isi kandungannya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zaffarollah turut menzahirkan ucapan tahniah buat Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk di atas pengesahan dibuat beliau berhubung isu terbabit.

“Tindakan berani tersebut sedikit sebanyak memberi harapan baharu kepada parti keramat ini agar menjadi sebuah parti pembela bangsa dan agama,” ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!