JPV tubuh pasukan petugas khas tangani isu jualan kambing

JPV menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu penjualan kambing sama ada hidup atau yang telah disembelih seperti tular baru-baru ini.(Gambar hiasan) Foto 123rf
JPV menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu penjualan kambing sama ada hidup atau yang telah disembelih seperti tular baru-baru ini.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu penjualan kambing sama ada hidup atau yang telah disembelih seperti tular baru-baru ini.

JPV dalam kenyataan berkata, penubuhan pasukan itu bertujuan untuk mengesan ladang-ladang disyaki menjadi tempat simpanan ternakan yang tidak diketahui punca bekalan.

“Ladang-ladang yang dikenal pasti ini akan dibuat pemantauan secara proaktif oleh JPV dari sudut tahap kesihatan ternakan ladang.

“Jika ada ternakan ladang tersebut diuji positif sebagai pembawa penyakit, ia akan dikuarantin dan tindakan kawalan penyakit akan dibuat.

“Tindakan ini bagi mengekang penularan penyakit ternakan dan jangkitan penyakit zoonotik kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan media JPV pada Rabu.
Kenyataan media JPV pada Rabu.

Kenyataan itu memaklumkan, JPV mengambil perhatian peningkatan jualan kambing dengan harga luar biasa murah kerana dikhuatiri bekalan diperolehi daripada punca yang tidak dapat dikenal pasti status kesihatan ternakan berkenaan.

“Bagi ternakan yang dibawa masuk dari luar negara, proses kuarantin adalah diwajibkan bertujuan memastikan ternakan berkenaan benar-benar sihat.

Artikel Berkaitan:

“Ternakan yang tidak melalui proses kuarantin dan tidak diketahui status kesihatannya dikhuatiri boleh membawa pelbagai penyakit ternakan dan lebih membimbangkan penyakit zoonotik boleh berjangkit kepada manusia.

“Penyakit zoonotik boleh merebak kepada manusia melalui kontak secara langsung dan tidak langsung dengan haiwan dijangkiti, pengambilan makanan dan melalui vektor seperti kutu, nyamuk dan lain-lain,” ujarnya.

Menurut kenyataan berkenaan, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh mengenai tawaran atau promosi ternakan yang berharga luar biasa murah daripada pasaran kerana dikhuatiri dibekalkan tanpa melalui pemeriksaan kesihatan veterinar yang diperlukan bagi sebarang pemindahan serta penyembelihan ternakan.

“Selaku pembeli, boleh meminta penjual menunjukkan permit pemindahan ternakan dan sijil kesihatan serta mengenal pasti tag ternakan atau apa-apa tanda pengenalan untuk kepastian ternakan telah diperiksa oleh JPV.

“JPV ingin memaklumkan bahawa jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan bekalan daging negara ini adalah bebas dari sebarang penyakit, selamat untuk dimakan serta tidak memberi risiko ancaman penyakit kepada industri ternakan negara,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, orang ramai boleh membuat aduan secara rasmi kepada JPV sekiranya mempunyai maklumat tentang ternakan yang disyaki diseludup kepada cawangan negeri terdekat melalui e-mel pro@dvs.gov.my atau hubungi 03-8870 2000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!