Suspek ugut pelanggan McDonald's tiada kaitan kes KK Mart - Polis

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Lima lelaki termasuk seorang anggota tentera yang ditahan Sabtu lalu kerana melakukan provokasi dan ugutan jenayah terhadap pelanggan restoran makanan segera, McDonald’s di Sungai Isap di sini tiada kaitan dengan kes melontar bom petrol ke atas premis kedai serbaneka, KK Mart berhampiran baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tiada penglibatan suspek dalam kes tersebut sebagaimana andaian segelintir pihak.

Menurutnya, siasatan kes tersebut masih diteruskan, namun belum ada sebarang petunjuk baharu setakat ini.

"Suspek kini direman sehingga Rabu dan disiasat bawah Seksyen 506 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 27 hingga 43 tahun ditahan di bilik Standby Detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Sabtu susulan laporan polis dibuat mangsa berusia 40 tahun.

Kejadian yang dikatakan berlaku di premis makanan segera itu jam 10.25 malam, pada Jumaat.

Mangsa mendakwa diprovokasi dengan kata-kata kesat oleh salah seorang suspek selain diugut dipukul menggunakan topi keledar.

Artikel Berkaitan:

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuantan turut membuka kertas siasatan bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan ke atas pemandu kenderaan pacuan empat roda terlibat kerana cuai terhadap keselamatan penumpang yang berdiri di bahagian belakang sambil mengibarkan bendera Palestin.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28