Dua lelaki tak mengaku sogok polis

Kah Wai (depan, tengah) dan Teck King (belakang, tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Selasa.
Kah Wai (depan, tengah) dan Teck King (belakang, tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa atas tuduhan bersubahat menyogok seorang pegawai kanan polis pada Jun tahun lalu.

Tertuduh Teo Teck King, 26, dan Keong Kah Wai,19, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, Teck King didakwa secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM60,000 kepada seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintenden yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya dan rakan-rakan yang disyaki melakukan aktviti penipuan.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Manakala, Kah Wai didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) akta yang sama kerana bersubahat dalam perlakuan kesalahan Teck Qing yang memberikan suapan kepada pegawai polis.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di hadapan sebuah kedai serbaneka, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 1 Jun 2023.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh dua rakan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Selain itu turut memohon syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain yang menyebut bagi pihak peguam Daljit Singh memohon jaminan terhadap mereka dikurangkan.

Hakim kemudian membenarkan Teck King diikat jamin RM40,000 dan RM30,000 terhadap Kah Wai dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 21 Mei depan untuk serahan dokumen.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28