Indonesia tumbang di tangan Qatar

Aksi antara pemain Qatar dan Indonesia dalam perlawanan Kumpulan A Piala Asia B-23. FOTO AFC
Aksi antara pemain Qatar dan Indonesia dalam perlawanan Kumpulan A Piala Asia B-23. FOTO AFC
A
A
A

QATAR membuka kempen Kumpulan A Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) 2024 dengan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Indonesia di Stadium Jassim Bin Hamad pada Isnin.

Qatar mendahului menerusi penalti Khaled Ali sebelum separuh masa pertama berakhir dan Ahmed al-Rawi menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma menarik pada babak kedua.

“Pemain berjuang untuk kemenangan ini.

"Kami lebih baik pada separuh masa pertama berbanding separuh masa kedua.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami akan mengambil satu langkah pada satu masa dan kini kami perlu fokus pada perlawanan seterusnya iaitu menentang Jordan.

"Ia akan menjadi cabaran yang lebih sukar untuk kami,” kata pengendali Qatar, Ilidio Vale.

Qatar mengasak Indonesia sejak awal perlawanan bermula dengan Hashmi al-Hussain menguji penjaga gol Indonesia, Ernando Ari pada minit ketiga.

Al-Rawi sepatutnya membuka tirai jaringan selepas perlawanan berlangsung 30 minit, tetapi penyerang Al Rayyan itu tidak dapat melakukan rembatan tepat ke sasaran.

Artikel Berkaitan:

Indonesia, bagaimanapun mula mendapat rentak dan penjaga gol Qatar, Youssef Abdullah dipaksa menyelamatkan tandukan Mohamed Ferarri pada minit ke-36.

Kekasaran oleh kapten Indonesia Rizky Ridho ke atas Salem terpaksa dibayar mahal apabila Qatar dihadiahkan penalti selepas semakan VAR, dengan Ali menyempurnakan sepakan penalti pada masa tambahan.

Indonesia memulakan separuh masa kedua dengan aksi agresif tetapi mendapat tamparan hebat apabila Ivar Jenner dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada permulaan separuh masa kedua.

Keadaan menjadi lebih sukar buat Indonesia apabila Witan Sulaeman mengasari Meshaal dan al-Rawi menyudahkan sepakan percuma menarik melepasi pertahanan dan ke sudut kanan bawah gol Indonesia.

Indonesia terus menderita apabila kehilangan Ramadhan Sananta selepas semakan VAR menyaksikan pengadil menukar layangan kad kuning kepada kad merah selepas kekasaran pemain gantian itu ke atas Mohamed Aiash.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28