ISN, SRAM congak langkah awal ke LA 2028

Ahmad Faedzal (enam dari kanan) dan Nicol (enam dari kiri) bekerjasama memantapkan skuad skuasy menerusi sains sukan menjelang LA 2028. Foto FB Ahmad Faedzal
Ahmad Faedzal (enam dari kanan) dan Nicol (enam dari kiri) bekerjasama memantapkan skuad skuasy menerusi sains sukan menjelang LA 2028. Foto FB Ahmad Faedzal
A
A
A

INSTITUT Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) mengorak langkah awal mempersiapkan atlet sukan tersebut menerusi kaedah sains sukan sebagai persediaan untuk menggalas cabaran negara dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan perkhidmatan ISN kepada persatuan tersebut.

Beliau berkata, tumpuan juga akan diberikan daripada aspek pemantauan berteraskan data kepada atlet-atlet yang telah dikenal pasti bagi projek fast track Olimpik LA 2028.

“Selain itu penyelidik ISN juga akan mengutip data pemain terlibat dalam projek pembangunan penyelidikan (R&D) injury shield.

“Projek tersebut bertujuan memperkasa inisiatif pengurusan risiko kecederaan atlet kebangsaan melalui kaedah saintifik. Percaya kepada proses, percaya kepada misi,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan itu melibatkan Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S Maniam dan Ketua Jurulatih, Ajaz Amat.

“Turut bersama dalam perbincangan itu ialah legenda skuasy negara, Datuk Nicol David selaku ahli Lembaga ISN yang diberi mandat oleh Jawatankuasa Road To Gold untuk memacu projek ini.

“Perkongsian pengalaman Nicol sebagai pemain skuasy wanita nombor satu dunia selama 108 bulan dan juara dunia sebanyak lapan kali mampu membantu memperkasa projek ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada tahun lalu menyenaraikan skuasy antara lima sukan baharu yang bakal dipertandingkan dalam Sukan Olimpik LA 2028.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28