Wujudkan suruhanjaya sukan negara pantau rasuah

Badan lain seperti suruhanjaya sukan negara perlu diwujudkan bagi membasmi rasuah dalam industri sukan negara. Gambar kecil: Hamdan
Badan lain seperti suruhanjaya sukan negara perlu diwujudkan bagi membasmi rasuah dalam industri sukan negara. Gambar kecil: Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Badan lain seperti suruhanjaya sukan negara perlu diwujudkan bagi membasmi rasuah dalam industri sukan negara.

Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel berkata, ia bertujuan memantau pelaksanaan dan pentadbiran sukan negara sekali gus dapat membanteras kegiatan rasuah dalam industri tersebut.

"Jika tidak mahu dengar ada permainan atau perlawanan yang dibeli kemenangannya ataupun dalam erti kata lain juri disogok dengan wang ringgit,langkah terbaik ialah membuat pemantauan di setiap peringkat pengurusan sukan negara.

"Bagaimanapun, ia perlu seiring dengan akta atau hukuman yang lebih tegas kepada mereka yang terlibat. Bayangkan bagaimana mungkin sukan negara boleh terus maju di mercu antarabangsa jika arena sukan juga terpalit dengan pelbagai kegiatan rasuah," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar sebuah negeri di utara tanah air bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu rasuah lebih RM6 juta melibatkan sebuah persatuan bola sepak.

Menurut sumber, siasatan membabitkan kes rasuah tersebut dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri berkenaan sekiranya menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak negeri itu.

Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim memberitahu, rasuah dalam bidang sukan pasti akan merosakkan integriti dan moral serta memberi kesan negatif terhadap pembangunan atlet serta imej negara.

"Langkah terbaik adalah dengan meningkatkan ketelusan, penyeliaan, dan penguatkuasaan undang-undang antirasuah dalam pengurusan persatuan sukan serta program pembangunan atlet.

Artikel Berkaitan:

"Rasuah penting untuk dicegah bagi mengelakkan kesan jangka panjang dalam arena sukan negara," jelasnya.