Kerajaan pantau konflik Timur Tengah, pastikan keselamatan rakyat terjamin - PM

Anwar (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara pagi Isnin bagi berbincang lanjut situasi tegang di Timur Tengah itu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara pagi Isnin bagi berbincang lanjut situasi tegang di Timur Tengah itu. Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memantau dengan teliti perkembangan konflik di Timur Tengah dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia, sentiasa terjamin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan di Facebook pada Isnin berkata, kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama, malah beliau sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara pagi tadi, bagi berbincang lanjut situasi tegang di Timur Tengah itu.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan pegawai-pegawai kanan kerajaan lain.

Beliau berkata, mengambil kira perbincangan yang telah diadakan semalam, mesyuarat yang diadakan dua hari berturut-turut termasuk hari ini, menunjukkan perhatian serius Kerajaan Madani terhadap isu Timur Tengah, selain usaha yang diambil untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya tidak terjejas oleh situasi terbabit.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Malaysia bersama negara-negara bertamadun lain, menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.

"Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi. Pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah, berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

"Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa-apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel,” katanya.

Anwar berkata, kunci penyelesaian kepada isu berkenaan ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan tidak berperikemanusiaan di Gaza.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain. Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

"Dalam hal ini, sumbangan Malaysia terbaru sebanyak 100 kontena dijangka akan berlepas pada 27 April ini,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28