KAFA tubuh pasukan khas tangani hutang lapuk

Husin Deraman
Husin Deraman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mewujudkan pasukan khas dalam menangani isu-isu hutang lapuk yang sedang membelenggu badan induk itu ketika ini.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, kewujudan pasukan tersebut memperlihatkan komitmen tinggi KAFA dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain termasuklah awang import.

"Kita sentiasa peka dan berusaha mencari kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah tersebut secara berperingkat-peringkat. Pengalaman lalu banyak mengajar kita erti kepayahan dalam menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengulas pendedahan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang mengatakan Kelantan bakal berdepan pemotongan mata oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Dalam laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Stuart mendedahkan Kelantan bakal berdepan pemotongan mata ekoran beberapa bekas pemain import Kelantan telah melaporkan tunggakan gaji mereka kepada FIFA.

Musim lepas, Kelantan dipotong tiga mata selepas gagal melunaskan tunggakan gaji bekas Pengarah Teknikal, Alfredo Gonzalez dalam tempoh yang ditetapkan Jawatankuasa Disiplin FIFA sehingga menyebabkan mereka hampir tersingkir ke Liga M3.

Husin memberitahu, buat masa ini pihaknya sedang berhubung dengan FIFA berhubung perkara tersebut kerana ia boleh memberikan impak besar buat The Red Warriors (TRW).

"Isu tunggakan gaji bekas pemain merupakan satu 'barah' buat TRW yang perlu ditangani dengan sebaik mungkin. KAFA sentiasa berusaha mencari jalan terbaik dalam menyelesaikan masalah ini bagi memastikan Kelantan memulakan musim baharu dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Artikel Berkaitan: