Tabik hormat kepada Lee Chong Wei

Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika meninggalkan lobi Hospital Putrajaya selepas menziarahi pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang terlibat kemalangan. - Foto Bernama
Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ketika meninggalkan lobi Hospital Putrajaya selepas menziarahi pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang terlibat kemalangan. - Foto Bernama
A
A
A

PADA awal pagi Isnin 13 Januari lalu Merak Jalanan terkejut dengan satu kemalangan maut melibatkan sebuah van dengan lori di Lebuh Raya Maju Ekspres (MEX) di ibu negara.

Apa tidaknya, penumpang van tersebut bukanlah calang-calang individu. Dia ialah jagoan badminton nombor satu dunia dari negara Matahari Terbit, Kento Momota.

Tidak sampai 24 jam sebelum itu, Momota baru sahaja mengecapi kemanisan kemenangan apabila menjuarai Malaysian Masters sekali gus merupakan kejuaraan sulungnya di bumi Malaysia pada Ahad lalu.

Turut terlibat dalam nahas sewaktu van menuju ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur itu ialah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia, William Thomas dari England; pembantu jurulatih Jepun, Hirayama Yu dan Pegawai Fisioterapi Jepun, Morimoto Akifumi.

Lebih menyayat hati, pemandu van yang membawa Momota dan tiga mangsa lain maut di tempat kejadian.

Momota yang cedera terus dirujuk ke Hospital Putrajaya sebelum disahkan mengalami patah tulang hidung dan menerima jahitan pada bibir.

Sebaik berita kejadian diketahui ramai, maka ramailah yang turun melihat keadaan Momota daripada isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Satu kelibat yang paling menarik perhatian Merak Jalanan ialah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. Di gelanggang badminton, Momota pernah menjadi musuh Chong Wei sekitar dua tahun lalu sebelum Chong Wei menggantungkan raket.

Artikel Berkaitan:

Di luar gelanggang lain kisahnya. Kelmarin, Chong Wei bergegas ke Hospital Putrajaya untuk melawat Momota dan menenangkan pasukan Jepun.

Merak Jalanan tersentuh dengan tindakan Chong Wei yang pada ketika beliau tidak lagi bergelar pemain badminton negara tetapi tetap membantu dan menenangkan Momota.