Serangan udara Israel di kem pelarian Nuseirat ragut nyawa, kecederaan

Runtuhan yang berlaku selepas serangan udara Israel di kem pelarian Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
Runtuhan yang berlaku selepas serangan udara Israel di kem pelarian Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza. Foto Xinhua
A
A
A

BANDAR GAZA - Tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin dan mencederakan beberapa yang lain dalam serangan udara lewat Ahad yang menyasarkan sebuah bangunan kediaman di kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

"Tiga syahid dan yang lain cedera dibawa ke Hospital Al-Awda akibat serangan udara Israel di rumah keluarga Arab di barat laut kem pelarian Nuseirat," kata sumber perubatan kepada koresponden Agensi Anadolu.

Wartawan itu berkata, pengeboman berterusan ke atas kem berkenaan menyasarkan Masjid Hassan al-Banna di kem baharu di barat Nuseirat, mengakibatkan kemusnahan sepenuhnya.

Buat kali kedua, artileri Israel membedil menara Masjid Al-Qassam yang musnah di kem itu tanpa sebarang kecederaan dilaporkan, menurut koresponden itu.

Beliau juga melaporkan bahawa pesawat perang Israel menembak dua peluru berpandu di kawasan Al-Mufti di kem Nuseirat, menyebabkan kawah yang dalam.

Sejak hari kedua perayaan Aidilfitri lepas (Khamis), tentera Israel meneruskan serangan sengit ke atas kem Nuseirat.

Serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023, setakat ini mengorbankan lebih 33,700 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 76,400 orang menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Israel didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza. - Bernama-Anadolu

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28