Maritim cekup lima pencuri besi buruk di perairan Johor Timur

Anggota Maritim Malaysia Zon Sedili bersama lima suspek yang ditahan. Foto Maritim Malaysia Zon Sedili
Anggota Maritim Malaysia Zon Sedili bersama lima suspek yang ditahan. Foto Maritim Malaysia Zon Sedili
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili telah menahan sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran bersama lima individu disyaki pencuri besi buruk di perairan Johor Timur, pada Isnin.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili sebelum itu menerima aduan daripada Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada jam 10.45 pagi berhubung lima suspek telah menaiki sebuah bot tunda Bongawan 9 bersama barge Hexagro 9 dengan muatan besi buruk yang dalam perjalanan dari Labuan menuju Pelabuhan Klang.

Katanya, kesemua suspek berkenaan disyaki cuba mencuri muatan barge tersebut pada kedudukan 3.8 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

“Sejurus aduan diterima, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Apabila menyedari kehadiran Maritim Malaysia, kesemua suspek cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dan ditahan pada jam 11.50 pagi pada kedudukan 3.6 batu nautika selatan Tanjung Penyusop.

“Ketika diiring ke jeti Pos Maritim Pengerang, bot tahanan telah mengalami kebocoran dan telah tenggelam pada kedudukan 2.0 batu nautika tenggara Tanjung Bulat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Najib berkata, kesemua suspek merupakan lelaki warga Indonesia berusia antara 31 hingga 53 tahun kemudiannya telah dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta pecah masuk, jika didapati bersalah boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan boleh juga dikenakan denda sehingga RM4,000.

Artikel Berkaitan:

"Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 serta boleh dikenakan enam sebatan," katanya.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan sejak 2018, ini merupakan kejadian kesembilan yang dilaporkan dan berjaya ditangani Maritim Malaysia.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh kumpulan ini adalah menyasarkan bot atau kapal yang bergerak perlahan.

“Mereka melakukan aktiviti ini secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata. Barang-barang yang biasanya dicuri adalah besi buruk atau apa-apa sahaja barang yang mudah diambil seperti tali dan sebagainya.

“Berdasarkan kejadian yang berlaku, Maritim Malaysia akan mempertingkatkan lagi operasi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut khususnya di kawasan sempadan perairan negara.

“Ini kerana Maritim Malaysia percaya, selain kejadian yang dilaporkan dan berjaya ditangani, berkemungkinan terdapat kes yang sama berlaku ke atas bot atau kapal yang melalui perairan negara namun tidak dilaporkan untuk tindakan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kesemua pengusaha kapal untuk lebih berhati-hati dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghindari kejadian seumpama ini berlaku di masa hadapan seperti sentiasa mengaktifkan Ships Automatic Identification System (AIS), menambah jumlah petugas pemerhati kapal, berjaga-jaga dengan kehadiran bot yang mencurigakan serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa tempatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!