107 nyawa berjaya diselamatkan Maritim Malaysia sejak Januari

Maritim Malaysia membuat rondaan dan pemantauan. (Gambar kecil: Hamid)
Maritim Malaysia membuat rondaan dan pemantauan. (Gambar kecil: Hamid)
A
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan 107 orang dalam kes carilamat di laut bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, dalam tempoh sama, tujuh individu telah direkodkan dan empat mangsa dikhuatiri masih hilang.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa insiden di laut adalah seramai 118 orang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, berdasarkan rekod tahun lalu, Maritim Malaysia telah mencatatkan sebanyak 1,535 orang terlibat dalam insiden di laut seluruh negara.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,401 berjaya diselamatkan, manakala 90 mangsa lain dilaporkan meninggal dunia dan 44 mangsa lagi masih diklasifikasikan hilang," katanya.

Justeru, beliau berkata, bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, pihak Maritim Malaysia akan menggiatkan 'preventive SAR' (pencegahan carilamat).

"Kita membuat rondaan dan pemantauan di jeti-jeti sekitar pantai serta di perairan seluruh negara bagi memberi peringatan serta kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan menjaga keselamatan ketika berada di laut," katanya.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, orang ramai terutamanya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa menitikberatkan keselamatan di laut dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini perlu lebih-lebih lagi seluruh negara bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan bercuti panjang dalam fasa peralihan monsun yang bermula pada 29 Mac lalu dan dijangka akan berterusan sehingga Mei ini," katanya.

Hamid berkata, Maritim Malaysia mengingatkan kepada mereka yang akan menggunakan perkhidmatan bot atau feri bagi tujuan balik kampung atau melancong ke pulau supaya memastikan jaket keselamatan disediakan oleh pengendali bot atau feri.

"Selain itu, tiada lebihan penumpang daripada kapasiti yang ditetapkan bagi mengelak daripada sebarang insiden berlaku ketika berada di laut," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28