Terengganu laksana langkah kawalan lindungi pengilang padi

Bahagian Kawalselia Padi Beras Negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera. - Gambar hiasan Bernama
Bahagian Kawalselia Padi Beras Negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu mempunyai mekanisma kawalan bagi mengelakkan hasil padi di negeri ini daripada dijual ke kilang padi di negeri lain.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim menyatakan pihaknya melalui bahagian Kawalselia Padi Beras Negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi melindungi kepentingan pengilang bumiputera.

Menurutnya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi daripada dijual keluar menerusi kerjasama dengan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

"Justifikasi kawalan itu ialah disebabkan ketidakcukupan padi dalam kalangan pengilang tempatan dan hasil padi di Terengganu. Di negeri ini terdapat empat kilang padi yang beroperasi dan daripada jumlah itu, tiga kilang padi adalah milik bumiputera.

"Berdasarkan justifikasi itu, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri Terengganu telah melaksanakan beberapa langkah kawalan iaitu pertama sekali adalah arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.

"Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada 13 April lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan semua 11 pengilang padi Melayu yang masih ‘hidup’ menggesa Perdana Menteri segera campur tangan bagi menyelesaikan isu monopoli pengilang besar yang sedang mengancam ‘periuk nasi’ mereka.

Gesaan itu susulan keadaan semakin kritikal dan baki 11 kilang Melayu boleh ‘mati’ jika tiada langkah drastik menghentikan monopoli kilang besar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, langkah kawalan seterusnya bagi melindungi kepentingan pengilang tempatan ialah Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain.

"Langkah ketiga ialah Bahagian Kawalselia Padi dan Beras menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan.

"Kemudian langkah seterusnya adalah dengan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1,300 per tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!