Kukuh perpaduan melalui filem

Antara filem yang memaparkan konsep perpaduan yang pernah ditayangkan di pawagam tanah air.
Antara filem yang memaparkan konsep perpaduan yang pernah ditayangkan di pawagam tanah air.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih banyak filem pendek dalam talian yang memaparkan tentang keharmonian kaum dicadangkan dihasilkan di Malaysia sebagai inisiatif memberi kesedaran kepada rakyat agar dapat bersama-sama memperkukuhkan semula perpaduan kaum yang semakin goyah ketika ini.

Selebriti tanah air, Dr Soo Wincci berkata, ia dapat membuka mata rakyat mengenai pentingnya keharmonian antara kaum dipelihara.

“Keharmonian perlu dijaga secara berterusan kerana negara kita berbilang kaum.

“Memang bukan senang untuk pastikan keharmonian dapat dipelihara tetapi kalau keharmonian dan perpaduan itu diperkuatkan, Malaysia akan kuat dari segi diversiti seterusnya mengangkat nama negara ke persada dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Soo Wincci
Soo Wincci

Menurutnya, kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony yang digerakkan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub sangat tepat pada masanya dek kerana isu perkauman yang dianggap sudah berada pada tahap serius sekarang.

Kempen berkenaan menyarankan semua pihak berkompromi serta lebih bertanggungjawab dan bersama-sama berusaha menghapuskan kebencian serta mengembalikan keharmonian.

Jelas Wincci, pelbagai lagi kempen untuk memupuk perpaduan kaum perlu dilakukan agar masyarakat Melayu, Cina, India dan kaum-kaum minoriti lain dapat bersatu padu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelakon, Adam Corrie berkata, usaha memperbanyakkan filem yang menampilkan kepelbagaian kaum adalah satu inisiatif yang sangat bagus untuk memberi kesedaran kepada rakyat negara ini untuk bersama-sama menjaga perpaduan kaum.

Adam Corrie
Adam Corrie

Menurutnya, stesen televisyen swasta juga seharusnya mencontohi stesen penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mewajibkan sesetengah drama atau kandungan yang disiarkan menerapkan elemen perpaduan iaitu membariskan pelakon pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan India.

“Jadi stesen televisyen swasta pun kena selitkan juga elemen perpaduan kaum dalam drama atau program yang disiarkan agar semua pihak dapat sama-sama bantu kukuhkan perpaduan kaum ini.

“Saya juga sokong kempen Uninstall Hatred: Reboot Malaysia & Global Harmony yang dipromosikan Sinar Harian sebagai usaha menghentikan kebencian antara kaum kerana bagi saya kempen secara straight forward ini lebih berkesan,” katanya.

Katanya, ketegangan kaum yang berlaku sekarang disebabkan adanya individu yang ekstrem yang memainkan isu perkauman.