Adrian dalam kelas tersendiri

Adrian tampil aksi bertenaga dalam dua perlawanan awal Liga Premier TNBMHL 2020.
Adrian tampil aksi bertenaga dalam dua perlawanan awal Liga Premier TNBMHL 2020.
A
A
A

PENJAGA gol kedua Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Adrian Andy Albert membuktikan dia bukan seorang pemain tidak berpengalaman dalam dua perlawanan Liga Premier TNBMHL 2020 setakat ini.

Adrian berjaya mengisi kekosongan ditinggalkan penjaga gol dari Ireland, David Harte dengan baik selepas membantu UniKL meraih Piala Sumbangsih menerusi kemenangan 3-2 ke atas Kelab Hoki Terengganu (THT) sebelum menewaskan Hockademy Kuala Lumpur 3-1.

"Saya berlatih di bawah tunjuk ajar penjaga gol yang lebih berpengalaman dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini seperti David Harte, Roslan Jamaluddin dan S Kumar.

"Saya akan memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan. Keyakinan saya juga semakin meningkat untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Bagaimanapun, saya akui gembira dengan kehadiran Harte semula ke dalam pasukan untuk aksi-aksi selepas ini," katanya.

Adrian yang pernah bersama skuad negara dalam siri Jelajah Eropah termasuk muncul juara Kejohanan Jemputan Empat Negara di Barcelona, Sepanyol pada Ogos tahun lalu.

Harte dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pagi Rabu sekali gus sempat beraksi bersama UniKL untuk perlawanan ketiga menentang Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Tun Razak, Jalan Duta.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj menasihatkan barisan pemainnya supaya mengelak daripada mengalami sebarang kecederaan dalam perlawanan selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan kecederaan dialami dua tunjang utama UniKL, Kieran Govers dan Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil yang masing-masing mengalami cedera kepala dan patah rahang dalam dua perlawanan setakat ini.

Govers dijangka pulih dalam tempoh terdekat tetapi nasib berbeza buat Tengku Ahmad Tajuddin yang perlu menjalani pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu.

"Sekarang fokus saya terarah kepada tahap kecederaan Tengku Ahmad Tajuddin kerana kami tidak tahu jangkaan masa sebenar dia perlu berehat. Kami menantikan keputusan daripada doktor nanti," katanya.

Arul juga mendedahkan, UniKL memiliki rakaman video seorang petugas menghasut pemainnya memukul pemain lawan yang mana ia adalah satu perkara tidak sihat dalam permainan sukan.

Dalam pada itu, Arul mengakui anak-anak buahnya sudah bersedia menghadapi aksi menentang UiTM, lebih-lebih lagi dengan kehadiran semula Harte.

"Fokus kami tetap sama iaitu mengutip tiga mata penuh dalam setiap perlawanan," katanya.