Jalan Kuantan-Segamat sesak, pembinaan jambatan kekal perlu disegerakan

Gambar tular keadaan kesesakan di jambatan bailey, Jalan Kuantan-Segamat. Gambar kanan: Foto tular keadaan kesesakan lauan Kuantan- Segamat ketika perantau mula pulang dari kampung selepas Aidilfitri. (Gambar kecil: Ahmad Maslan)
Gambar tular keadaan kesesakan di jambatan bailey, Jalan Kuantan-Segamat. Gambar kanan: Foto tular keadaan kesesakan lauan Kuantan- Segamat ketika perantau mula pulang dari kampung selepas Aidilfitri. (Gambar kecil: Ahmad Maslan)
A
A
A

PONTIAN - Pembinaan jambatan kekal bagi menggantikan jambatan Bailey di Seksyen 102, Jalan Kuantan-Segamat perlu disegerakan susulan laluan berkenaan dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa pada Aidilfitri kali ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keperluan dan masalah kesesakan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

"Pada Januari lalu, saya sendiri sudah turun padang melawat kawasan di situ, yang berlaku tanah mendap akibat hujan dan banjir. Disebabkan kawasan di situ tidak boleh dilalui kenderaan, kita ambil keputusan bina jambatan bailey.

"Jambatan bailey merupakan jambatan sementara bukan jambatan kekal. Dalam masa yang sama kerajaan sudah umumkan pembinaan jambatan kekal bernilai RM17 juta untuk menggantikan jambatan bailey," katanya ketika ditemui di Benut pada Ahad.

Sebelum itu, tular beberapa keping gambar dan video keadaan jalan Kuantan-Segamat di Muadzam Shah yang mengalami kesesakan teruk terutama di laluan berhampiran jambatan bailey.

Pengguna media sosial berkongsi keadaan jalan yang sesak hampir dua jam hingga ke jambatan bailey tersebut.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kementerian akan menyegerakan pembinaan jambatan kekal di laluan berkenaan bagi kemudahan orang ramai.

"Pembinaan jambatan kekal cukup penting disegerakan kerana tidak mahu susahkan orang ramai dan penduduk yang berjam-jam bersilih ganti gunakan jambatan bailey.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, pengguna jalan raya boleh mencari jalan alternatif lain terutama pada hujung minggu dan musim perayaan bagi mengelakkan kesesakan di jalan Kuantan-Segamat," katanya.

Pada 18 Januari lalu, Ahmad memberitahu pihaknya telah membuat permohonan peruntukan bernilai RM17 juta kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi pembinaan jambatan kekal berkenaan menggantikan jambatan bailey tersebut.

Beliau menjangkakan pembinaan jambatan kekal itu akan mengambil masa dua atau tiga tahun untuk disiapkan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!