Lelaki mengamuk selepas bertengkar dengan adik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI BULOH - Hanya kerana pertengkaran kecil dengan adik perempuannya, seorang lelaki yang ketagihan dadah mengamuk serta meracau di rumah ibunya di Merbau Sempak dekat sini pada Jumaat.

Memetik kenyataan di laman rasmi Facebook Polis Daerah Sungai Buloh, anggota kereta peronda polis telah bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.30 pagi.

"Sampai di lokasi, anggota polis berjaya membuat tangkapan terhadap suspek berusia 38 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika suspek dan beberapa adik beradiknya berkumpul sempena hari raya di rumah ibunya sebelum berlaku pertengkaran dengan adik perempuannya hingga suspek mengamuk dan meracau sendirian," katanya.

Tambah kenyataan itu, pemeriksaan mendapati suspek memiliki 12 rekod lampau bersabit kes dadah selain ujian saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad mengesahkan tangkapan terbabit.

"Suspek mengamuk disyaki akibat tiada bekalan dadah.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan suspek yang juga bekerja menjual apam balik kini direman empat hari sehingga Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Artikel Berkaitan: