Pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya perlu dirangka segera

KRPPM-IGAR menegaskan pihaknya konsisten menyatakan komitmen kepada usaha untuk memastikan reformasi terhadap institusi dan sistem perundangan.
KRPPM-IGAR menegaskan pihaknya konsisten menyatakan komitmen kepada usaha untuk memastikan reformasi terhadap institusi dan sistem perundangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu diletakkan sebagai agenda penting yang harus dirangka segera dalam acuan reformasi Malaysia.

Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) dalam satu kenyataan berkata, pengasingan berkenaan bukan sekadar memastikan tatakelola dan integriti institusi keadilan berjalan dengan saksama tetapi penting untuk mitigasi kepada risiko kerugian serta kebocoran sumber negara akibat ketidaktelusan.

Menurutnya, jika hal berkenaan berlaku ia akan membataskan negara untuk meneruskan pembangunan yang mengangkat kepentingan rakyat secara keseluruhan.

“Hanya dengan sistem pendakwaan yang efisien dan dilaksanakan bebas daripada sebarang potensi pengaruh eksekutif akan memberikan kesan signifikan kepada objektif keadilan diharapkan oleh rakyat.

“Reformasi undang-undang dibangunkan melalui kebebasan institusi pendakwaan akan menghasilkan nilai yang lebih praktikal berbanding menjelaskan kerangka undang-undang secara teori semata-mata,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Pada 26 Mac lalu, media melaporkan KRPPM-IGAR selesai membincangkan empat fokus utama dalam reformasi institusi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di pejabatnya di Parlimen.

KRPPM-IGAR berkata, empat fokus utama tersebut seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009 dan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.

Mengulas lanjut, sekretariat berkenaan menjelaskan, pengasingan kuasa itu membolehkan objektif sosial dicapai dengan akauntabiliti tinggi dan meningkatkan kepercayaan awam, di samping institusi perundangan yang bebas daripada pengaruh politik serta mampu menggalakkan pelaburan asing juga domestik.

Artikel Berkaitan:

“Komitmen ini harus diambil kira sebagai akar kepada perlaksanaan sistem perundangan yang adil dan tidak berat sebelah.

“Ia adalah langkah kritikal bagi meningkatkan kualiti, kredibiliti keadilan dan menjadi petanda komitmen kerajaan untuk merealisasikan pelan strategik anti rasuah sepertimana ia telah digariskan di dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2018-2023,” ujar kenyataan itu.

Justeru, KRPPM-IGAR menegaskan, pihaknya konsisten menyatakan komitmen kepada usaha untuk memastikan reformasi terhadap institusi dan sistem perundangan dilaksanakan dalam garis masa yang munasabah serta efektif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!