Inisiatif Payung Rahmah diteruskan sebagai agenda nasional negara

Armizan (dua dari kiri) mengiringi Anwar (tengah) ketika merasmikan Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 di Putrajaya hari ini. - Foto: Bernama
Armizan (dua dari kiri) mengiringi Anwar (tengah) ketika merasmikan Karnival Barangan Malaysia (KBM) 2023 di Putrajaya hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diteruskan kerana ia merupakan agenda nasional negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, inisiatif Payung Rahmah itu akan diperkasa bukan hanya melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) malah merangkumi beberapa kementerian lain.

"Ia (Rahmah) jadi agenda nasional bukan hanya kementerian semata-mata tetapi ia memayungi kebajikan dan kesejahteraan kepada rakyat," katanya dalam sidang media selepas perasmian Karnival Barangan Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Salahuddin, ketika menjawat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan memberikan suntikan peruntukan RM200 juta bagi inisiatif Payung Rahmah untuk tahun depan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia Madani.

Sementara itu, ditanya mengenai kerjasama UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan), Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, kerjasama itu tidak akan menjejaskan kestabilan politik di Putrajaya.

"Komitmen sekarang kita memastikan kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan, saya fikir semua terlibat beri komitmen dan sekarang kedudukan kita jauh mencukupi kerusi untuk kekal stabil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Media hari ini melaporkan UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan) dilihat bakal mewujudkan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Gambaran kerjasama itu semakin jelas apabila Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hadir memenuhi undangan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan yang diadakan di Dewan Hakka Likas, hari ini. - Bernama