City bersemangat pertahan kejuaraan treble

Erling Haaland (dua,kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Luton Town. - Foto: AFP
Erling Haaland (dua,kiri) meraikan jaringannya ketika menentang Luton Town. - Foto: AFP
A
A
A

PEP Guardiola berkata Manchester City berada dalam kedudukan terbaik untuk berjuang mempertahankan kejuaraan treble selepas menewaskan Luton 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.

Kemenangan tersebut membawa anak buah Guardiola dua mata di depan Arsenal serta Liverpool dengan kedua-dua pasukan itu akan bermain pada Ahad.

City juga akan menentang Chelsea dalam separuh akhir Piala FA hujung minggu depan dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, perlawanan kedua menentang Real Madrid pada Rabu dengan kedudukan terikat 3-3.

Musim lalu, City menjadi pasukan Inggeris kedua yang memenangi treble EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA.

“Kami bercakap dengan pemain tentang betapa luar biasa berada di sini lagi. Sebelum perlawanan kami bercakap dan berkata kami perlu mengakuinya, satu keistimewaan," katanya.

Guardiola menimbulkan kebimbangan minggu ini bahawa keletihan pemain boleh menggagalkan usaha City untuk meraih kejayaan treble dengan isu kecederaan turut memberikan kesan.

City masih perlu bersaing dengan Arsenal dan Liverpool untuk menjadi pasukan pertama memenangi empat kejuaraan liga utama Inggeris berturut-turut.

“Satu-satunya cara ialah memenangi perlawanan kami dan memberi tekanan. Luton adalah pasukan yang sukar, okay kami menjaringkan lima gol. Ini sahaja mesej yang boleh kami sampaikan.

Artikel Berkaitan:

“Kami mempunyai enam perlawanan dan selepas itu jika kami tidak mampu (untuk memenangi liga), kami mengucapkan tahniah kepada mereka. Tetapi kami telah melakukan tugas kami dan itulah yang perlu kami lakukan," katanya.