Laporan kematian Nur Dinie Damia diserah kepada KKM

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Laporan penuh punca kematian murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, yang disyaki akibat jangkitan influenza A telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca kematian murid berkenaan.

“Kami tidak boleh salurkan apa-apa butiran mengenai siasatan punca kematian kanak-kanak berkenaan, semua maklumat dan laporan termasuk hasil bedah siasat sudah pun diserahkan kepada KKM petang tadi.

"Ketua Pengarah Kesihatan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai punca kematian Nur Dinie Damia dalam masa terdekat di saluran yang boleh diakses orang ramai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pagi tadi, Exco Kesihatan, Pendidikan dan Sumber Manusia Johor, Aminolhuda Hassan dalam satu sidang akhbar memaklumkan laporan penuh punca kematian Nur Dinie Damia akan dikeluarkan petang ini selepas siasatan lengkap dilaksanakan pihak hospital.

Nur Dinie Damia menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) kira-kira jam 10.41 malam tadi selepas mula menjalani rawatan di fasiliti berkenaan sejak Jumaat lalu.

Jenazah Allahyarhamah Nur Dinie Damia kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Siraj Darat, Kampung Kayu Ara Pasong Pontian pada jam 10 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid Tahun Satu dijangkiti Influenza A kritikal

Artikel Berkaitan:

Nur Dinie Damia sudah tiada

Laporan punca kematian Nur Dinie Damia dikeluarkan petang ini: Exco Johor

Kematian Nur Dinie Damia bukan berpunca influenza