Diskaun saman trafik bukan ‘penyelamat’

Azisman pada Program Sinar Live bertajuk: Op Selamat, Selamat Atau Tidak? di studio Sinar Harian Online hari ini.
Azisman pada Program Sinar Live bertajuk: Op Selamat, Selamat Atau Tidak? di studio Sinar Harian Online hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengguna jalan raya perlu mengubah sikap supaya terus mematuhi penguatkuasaan yang ditetapkan dan tidak menganggap bayaran diskaun sebagai ‘penyelamat’ apabila hendak membayar saman trafik.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pihaknya memandang serius isu itu dan turut mengawal kaunter kompaun diskaun dalam usaha mendidik masyarakat mematuhi undang-undang ketika di jalan raya.

"Kaunter bayaran diskaun dibuka supaya orang ramai dapat menjelaskan saman trafik dengan mudah dan waran tangkap tidak dikenakan terhadap pesalah trafik yang melakukan kesalahan tidak serius.

“Setakat ini kita mahu mendidik kesedaran rakyat, supaya membayar saman. Lagipun setakat ini jumlah kutipan kompaun mengikut statistik kutipan kita pada tahun lepas adalah sekitar RM 300 juta dan hanya 30 peratus yang menjelaskan bayaran manakala 70 peratus masih liat bayar saman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sinar Live bertajuk: Op Selamat, Selamat Atau Tidak? di studio Sinar Harian Online di sini hari ini.

Sementara itu, menurutnya, pelaksanaan Op Selamat yang dilaksanakan sepanjang perayaan dilihat cukup berkesan dan mencatatkan penurunan kes kemalangan walaupun tidak begitu ketara.

"Pertambahan jumlah kenderaan pada setiap tahun juga perlu diambil kira memandangkan ia akan berganda semasa musim perayaan.

"Kita sentiasa komited mengurangkan kadar kemalangan dan menyahut cabaran dalam usaha memastikan perkara ini dijalankan secara total melalui penguatkuasaan secara berterusan," katanya.

Artikel Berkaitan: