Kematian Nur Dinie Damia bukan berpunca influenza

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hasil ujian sampel klinikal terhadap murid Tahun Satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor Ain, 7, mendapati kematiannya bukan berpunca daripada jangkitan influenza.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak itu dirujuk kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dari sebuah hospital swasta pada 10 Januari lalu dalam keadaan yang sangat kritikal.

"Dia menerima bantuan pernafasan dan rawatan rapi oleh pasukan perubatan diketuai pakar-pakar perubatan pediatrik, namun keadaan pesakit semakin tenat dan dia disahkan meninggal dunia pada 13 Januari 2020 jam 10.48 malam.

"Ujian sampel klinikal kanak-kanak ini adalah negatif bagi jangkitan influenza. Punca kematiannya masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nur Dinie Damia selamat dikebumikan kira-kira jam 10.15 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Parit Haji Siraj Darat, Kampung Kayu Ara Pasong, Pontian.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Nur Dinie Damia selamat dikebumikan

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihak kementerian juga mengambil maklum mengenai satu kes kematian kanak-kanak yang dilaporkan oleh media pada Ahad lalu yang dikaitkan dengan influenza di Selangor.

"Berdasarkan laporan awal yang diterima, pesakit dibawa oleh ibu bapanya ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital swasta di Selangor pada Sabtu lalu dalam keadaan yang kritikal.

Artikel Berkaitan:

"Pesakit telah meninggal dunia pada Ahad dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. KKM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak OKU disyaki dijangkiti Influenza A meninggal dunia

Menurutnya, analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember 2019.

Katanya, peningkatan itu dikesan di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.

"Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan namun kejadian wabak tersebut adalah dalam keadaan terkawal," katanya.

Noor Hisham berkata, survelan influenza makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza dalam persekitaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Laporan punca kematian Nur Dinie Damia dikeluarkan petang ini: Exco Johor

Nur Dinie Damia sudah tiada