Malaysia kecam serangan Israel ke atas petugas bantuan kemanusiaan

Rakyat Palestin kembali ke bandar selatan Genting Gaza Khan Younispada 8 April lalu. Foto Xinhua
Rakyat Palestin kembali ke bandar selatan Genting Gaza Khan Younispada 8 April lalu. Foto Xinhua
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dengan tegas mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam Tentera Rejim Israel (IOF) pada Jumaat di Rafah, yang secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa sukarelawan dan petugas dalam konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan, termasuk mereka yang mengendalikan bantuan dari Malaysia melalui Ops Ihsan.

Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha menyampaikan bantuan adalah sama sekali tidak boleh diterima.

"Tindakan kejam ini oleh Israel mencerminkan kekejaman yang melampaui sebarang pemahaman atau justifikasi.

"Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik,” kata Wisma Putra.

Kementerian itu berkata, sudah tiba masanya bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu dan menuntut agar Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah dilakukan mereka.

"Di mana Israel sebelum ini menuntut bahawa tindakan ini adalah langkah-langkah yang diperlukan untuk pertahanan diri, tindakan-tindakannya sejak Oktober tahun lepas jelas menunjukkan sebaliknya: Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas.

Di saat bantuan sangat diperlukan untuk sampai kepada rakyat Palestin, rejim Israel secara berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyeksa golongan tua, rakyat yang kesakitan, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Wisma Putra, ini adalah kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu, dan nyawa sukarelawan mereka terancam tanpa sebab.

Artikel Berkaitan:

"Serangan pertama berlaku pada 14 Mac 2024 yang meragut nyawa lapan orang Palestin dan mencederakan lebih daripada 20 yang lain,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28