11 maut di Pakistan, disyaki angkara militan pemisah

Beberapa kereta musnah akibat daripada serangan sekumpulan lelaki bersenjata di barat daya Pakistan pada Jumaat. Foto Agensi
Beberapa kereta musnah akibat daripada serangan sekumpulan lelaki bersenjata di barat daya Pakistan pada Jumaat. Foto Agensi
A
A
A

QUETTA - Polis sedang giat mengesan sekumpulan lelaki bersenjata yang disyaki militan pemisah kerana membunuh 11 orang di barat daya Pakistan.

Menurut polis, enam lelaki bersenjata itu menghentikan sebuah bas berhampiran bandar Naushki di wilayah Balochistan sekitar jam 8 malam Jumaat sebelum memeriksa kad pengenalan orang ramai dan menculik sembilan pekerja dari wilayah timur Punjab.

Pegawai kanan polis, Allah Bakhsh berkata, pihaknya telah menemukan mayat yang ditembak sekitar dua kilometer (km) dari lebuh raya.

Menurutnya, penyerang sama juga melepaskan tembakan ke arah kereta milik seorang ahli Parlimen, namun wakil rakyat itu tiada dalam kenderaannya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, dua orang yang berada di dalam kereta itu terbunuh selepas kenderaan berkenaan terbabas ke dalam parit.

"Lelaki bersenjata itu jelas menggunakan modus operandi pemisah Baloch dan siasatan dilancarkan untuk mengesahkan siapa di sebalik serangan itu," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Pentadbiran Daerah Naushki, Habibullah Musakhail mengesahkan polis dan pasukan separa tentera mula menjalankan operasi mencari bagi menahan penyerang.

"Tetapi penyerang berjaya melarikan diri dari kawasan itu kali ini," jelasnya yang turut mengesahkan jumlah kematian.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, kumpulan pemisah etnik melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad di Balochistan, sebuah wilayah terbesar tetapi termiskin di Pakistan walaupun terdapat banyak sumber semula jadi.

Sebelum ini, puak militan menyasarkan etnik Punjabi dan Sindhi dari tempat lain di Pakistan termasuk firma tenaga asing yang mereka percaya bertindak mengeksploitasi wilayah itu tanpa berkongsi kekayaan. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!