Kebakaran di Pusat Kualiti Alam terkawal, penduduk tak perlu bimbang

Veerapan ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Veerapan ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk di sekitar Sendayan tidak perlu bimbang kemungkinan berdepan masalah kesihatan susulan kebakaran yang berlaku di tempat logistik simpanan sisa bahan kimia berjadual di Cenviro Sdn Bhd (Pusat Kualiti Alam) di sini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, hasil pemantauan dilakukan setakat ini mendapati kualiti udara di kawasan itu berada dalam keadaan terkawal.

Kualiti udara di kawasan Pusat Kualiti Alam berada dalam keadaan terkawal.
Kualiti udara di kawasan Pusat Kualiti Alam berada dalam keadaan terkawal.

"Penduduk tak perlu bimbang kerana saya dah masuk (lokasi kebakaran) tadi tanpa memakai pelitup muka kerana udara di sana bersih, tiada unsur kimia.

"Pada jam 4.23 pagi bomba telah pun serahkan tempat itu kepada Pusat Kualiti Alam. Jadi maksudnya ia dah selamat dan tiada bahaya yang mungkin timbul," katanya ditemui pemberita selepas melawat lokasi pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, penduduk dinasihatkan mendapatkan rawatan lanjut sekiranya berdepan apa-apa isu berkenaan air atau mengalami kesan kesihatan.

Menurutnya, pihaknya juga setakat ini tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk yang bimbang kesan yang mungkin dihadapi mereka disebabkan kejadian berlaku.

Jelas beliau, kebakaran di pusat pengurusan sisa tersebut merupakan kali ketiga berlaku dengan kali pertama pada 2015 dan kedua pada 2019.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kali ini saya tengok keadaan lebih terkawal dan tindakan cepat dapat diambil.

"Saya dah lihat lokasi kebakaran di Side A saja, bukannya seperti diuarkan-uarkan di keseluruhan tapak dan saya dimaklumkan jumlah kerugian dianggarkan RM8 juta," katanya.

Tambahnya, beliau difahamkan kebakaran itu kemungkinan berlaku disebabkan tindak balas kimia di lokasi.

Dalam pada itu, Pusat Kualiti Alam dalam kenyataannya berkata, kebakaran itu hanya menjejaskan sebahagian kapasiti pergudangan dan tidak memberi kesan kepada operasi harian fasiliti Pusat Pengurusan Sisa (WMC).

Menurut kenyataan itu, kebakaran yang bermula di kawasan simpanan terpencil berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan serta pasukan Kebakaran dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Kualiti Alam sekitar jam 8.20 malam.

"Kebakaran pada jam 5.40 petang berjaya dikawal dengan semua 86 pekerja selamat.

"Sebaik sahaja kebakaran dikesan, prosedur tindak balas kecemasan segera dilaksanakan oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Kualiti Alam manakala 66 orang personel dari empat stesen Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan turut hadir di tapak tersebut," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, siasatan penuh sedang dijalankan dan punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti.

"Kami kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (DOE), Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memastikan keselamatan fasiliti sebelum kami mula semula operasi, serta untuk melindungi kebajikan pekerja dan komuniti sekitar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Pasukan Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) pihaknya sentiasa memantau kualiti udara, dan bacaan gas di tapak dan kawasan sekitarnya.

Jelas kenyataan itu, setakat ini tiada bacaan yang tidak normal ditunjukkan.

Sebelum ini media melaporkan, tempat logistik simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan 100x100 kaki persegi di Pusat Kualiti Alam itu terbakar 100 peratus dalam kejadian pada petang Jumaat.

Jurucakap bomba berkata, bomba menerima maklumat jam 5.58 petang dan sampai ke lokasi jam 6.16 petang.

Operasi memadam kebakaran sepenuhnya pada jam 4.23 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28