Keluarga Nadir Al-Nuri pulang ke tanah air, anak alami komplikasi pernafasan

Nadir Al-Nuri (tengah) gembira apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya di Malaysia.
Nadir Al-Nuri (tengah) gembira apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama anak-anaknya di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Konflik Palestin-Israel semakin membimbangkan menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman membawa pulang ahli keluarganya yang berada di Khan Younis ke tanah air.

Beliau berkata, ia berikutan anak bongsunya mengalami komplikasi pernafasan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital di tengah malam.

Menurut Nadir, keluarganya masih bertahan dalam peperangan tersebut walaupun terpaksa berpindah dari rumah ke rumah, saudara meninggal syahid, makanan dicatu setiap hari dan tempat berlindung mereka dibom.

“Tetapi, apabila anak bongsu saya mula mengalami komplikasi pernafasan, terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam di bawah bedilan roket dan meriam.

“Kami mula berfikir bahawa mungkin sudah cukup enam bulan kami bertahan. Lebih-lebih lagi apabila Rafah diancam untuk dilanggar oleh musuh durjana melalui jalan darat tanpa belas kasihan.

“Kami menyebutkan mungkin ALLAH SWT aturkan jihad kami bukan dengan adanya nyawa yang perlu dikorbankan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Nadir memaklumkan bahawa sambutan perayaan Aidilfitri kali ini lebih bahagia buatnya apabila dapat menyambut lebaran bersama keluarganya di Malaysia.

Beliau memberitahu banyak usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk membawa mereka pulang ke tanah air dari Palestin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau turut menghubungi beberapa ulama di Palestin dan Malaysia untuk mendapatkan pandangan mengenai hukum meninggalkan bumi perjuangan pada saat getir tersebut.

Bagaimanapun, jawapan yang diterima seragam dan melegakannya untuk membawa keluar ahli keluarganya di medan peperangan itu.

“Insya-ALLAH tiada masalah untuk wanita dan kanak-kanak keluar selagi ada niat untuk kembali ke sana (Palestin) apabila keadaan membenarkan.

“Kami beristikharah dan bertawakal, perjuangan tidak akan berakhir tetapi tetap diteruskan walaupun tidak berada di sana,” katanya.

Tambah Nadir, pada awalnya tiada perancangan untuk membawa keluarganya keluar dari Gaza sejak perang meletus pada Oktober lalu.

“Saya sebutkan kepada keluarga di sana, bila sampai masanya, paling penting bila hati saya tenang mereka tetap akan keluar juga.

“Keluar Gaza tidak bermakna perjuangannya akan terhenti tetapi silat di medan baru akan bermula. Yang pasti, nikmat keluarga berada dalam keadaan selamat di sisi, ialah nikmat yang saya harapkan untuk semua," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!