JPJ tingkat pemantauan, kuat kuasa fasa kedua bermula hari ini

Lokman
Lokman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan fasa kedua bagi tempoh 12 hingga 20 April ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, ia bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya bagi tempoh berkenaan.

Beliau berkata, ia meliputi tempoh orang ramai pulang dari kampung halaman ke kota termasuk penguatkuasaan perintah sekatan larangan perjalanan kenderaan barangan pada 13 hingga 14 April ini.

Rekod kemalangan serta kematian dicatatkan bermula 1 sehingga 10 April.
Rekod kemalangan serta kematian dicatatkan bermula 1 sehingga 10 April.

"Mengambil kira perangkaan harian Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia, terdapat 18,967 kemalangan dan 201 kematian dalam tempoh 10 hari iaitu dari 1 hingga 10 April 2024.

"Maka tempoh 10 hari berikutnya sangat penting untuk orang ramai memastikan pematuhan peratuhan berada di tahap tertinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut meningatkan pengguna kenderaan tidak melakukan pelanggaran peraturan khususnya kesalahan utama seperti tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang/tali keledar dan memandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.

Mengulas lanjut beliau berkata, rekod dikeluarkan JSPT PDRM seharusnya memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk tidak alpa dan leka kepada pemanduan selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu bahawa sikap pemandu adalah kunci utama untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Menurutnya, sikap sabar dan rehat secukupnya juga boleh mendorong perjalanan lebih selamat.

"Ingatlah bahawa data harian kemalangan dan kematian akibat nahas akan berlaku sekiranya kita gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"JPJ memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang masih tegar melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan," katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan dan tindakan tegas dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan ekosistem pembudayaan keselamatan jalan raya yang lebih selamat kepada semua pengguna.

"Masyarakat terutama pengguna diminta mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan diri dan keluarga.

"Sebarang aduan boleh dilaporkan terus dengan menggunakan aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28