PM dihidang ubi kayu kukus, kelapa parut di rumah terbuka Speaker

Hidangan ubi kayu kukus bersama kelapa parut antara juadah yang disediakan di majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di kediaman rasminya di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Hidangan ubi kayu kukus bersama kelapa parut antara juadah yang disediakan di majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di kediaman rasminya di Kuala Lumpur, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Hidangan ubi kayu kukus bersama kelapa parut antara juadah yang disediakan di majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di kediaman rasminya di Kuala Lumpur pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan isteri, Dr Wan Azizah juga dihidangkan dengan beberapa menu lain seperti lemang, rendang, mi rebus, mi goreng, aneka kuih-muih serta cendol.

"Usai ziarah di Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya dan Azizah terus ke kediaman rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bagi memenuhi undangan rumah terbuka beliau dan isteri.

"Saya juga sempat bersalaman dan bertegur sapa dengan tetamu yang hadir sambil dijamu pelbagai juadah menarik termasuk ubi kayu kukus dan kelapa parut.

"Gunakan peluang sempena Aidilfitri ini untuk mengunjungi sanak saudara serta teman-teman," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

(Kiri) Johari dan Anwar bersalaman ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Lumpur pada Khamis.
(Kiri) Johari dan Anwar bersalaman ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Lumpur pada Khamis.

Pada 6 April lalu, Johari dilapor mencadangkan supaya orang ramai menjadikan ubi kayu sebagai sumber alternatif untuk karbohidrat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian susulan kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) dalam negara yang mengalami isu dan masih dalam proses penyelesaian.

"Kalau beras menjadi isu, apa tujuan beras kita makan. Tujuan untuk mendapatkan karbohidrat. Saya merasakan ada tak alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras.

"Contoh saya pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak. Sarawak tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab ubi kayu ini khasiatnya hebat dibandingkan dengan gula yang ada dalam beras, ubi kayu jauh lebih rendah," ujarnya.

Menurut Johari, meneroka sumber makanan tempatan alternatif boleh menjadi satu cara untuk mengurangkan pergantungan kepada import.

Sementara itu, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut menggesa kerajaan supaya menaikkan harga lantai padi dan benih padi serta menetapkan harga siling untuk beras putih import bagi mengatasi isu berkenaan.

Pengerusi LPP, Mahfuz Omar berkata, kenaikan harga lantai padi juga sebagai melindungi petani supaya pengilang beras tidak boleh membeli padi di bawah paras harga lantai ditetapkan.

Ujar beliau, ia bagi mengelak ketidaktentuan dan manipulasi berterusan terhadap harga padi di pasaran tempatan yang seterusnya memberi kesan kepada harga serta bekalan beras.

"Kita mencadangkan harga lantai belian padi dinaikkan, harga lantai ini untuk melindungi petani, kilang tak boleh beli di bawah harga tersebut iaitu harga untuk kehidupan dan keuntungan petani," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga dicadang untuk menetapkan harga siling bagi beras import bagi mengelakkan manipulasi beras dalam pasaran.