Lori sampah rosak brek rempuh 14 kenderaan

Tangkap layar video memaparkan beberapa kenderaan alami kerosakan setelah dirempuh lori sampah di persimpangan lampu isyarat dekat Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shapadu pada Selasa.
Tangkap layar video memaparkan beberapa kenderaan alami kerosakan setelah dirempuh lori sampah di persimpangan lampu isyarat dekat Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shapadu pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Sebuah lori sampah dipercayai mengalami masalah brek telah merempuh 14 kenderaan di persimpangan lampu isyarat dekat Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shapadu di sini pada Selasa.

Ketika kejadian, difahamkan lori berkenaan dari arah Shah Alam menuju ke Kapar.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang melibatkan lori sampah dipandu seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun dan 14 kenderaan lain.

"Ketika kejadian, kesemua kenderaan itu dipercayai sedang menunggu lampu isyarat sebelum dirempuh lori sampah terbabit.

"Siasatan dijalankan mendapati, pemandu berkenaan mendakwa lori sampah dipandunya mengalami masalah brek.

"Lori berkenaan akan dihantar ke Puspakom untuk diperiksa," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, lelaki terbabit dan kesemua pemandu dan penumpang 14 kenderaan terlibat bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Ujian saringan dijalankan terhadap pemandu lori sampah itu mendapati dia bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta segera tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327," katanya.

Pada Selasa, tular video di media sosial kemalangan melibatkan sebuah lori sampah serta beberapa buah kenderaan di persimpangan berdekatan Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shapadu di sini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28