Dua beranak maut: Masalah brek punca lori rempuh empat kereta

Laporan Sinar Harian pada Isnin
Laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah brek dipercayai menjadi punca sebuah lori merempuh empat buah kereta lain hingga mengakibatkan dua beranak maut dalam kemalangan di Kilometer 5.5 Jalan Banting-Dengkil pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 47 tahun itu memaklumkan kenderaan yang dipandunya mengalami masalah brek.

"Polis akan membawa lori tersebut ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Banting di sini untuk pemeriksaan lanjut.

"Semakan mendapati pemandu lori tersebut tiada rekod saman dan jenayah, dan lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 7 pagi itu, Ahmad Ridhwan mengesahkan kedua-dua yang maut itu merupakan ibu dan anak perempuan yang masing-masing berusia 43 dan 10 tahun.

Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dalam perjalanan dari Banting menghala ke Dengkil itu, hilang kawalan seterusnya terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar empat kereta termasuk kenderaan yang dipandu mangsa.

"Ibu dan anak perempuan yang merupakan penumpang hadapan tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang belakang kereta itu mengalami kecederaan ringan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: