'Hargailah masa bersama mereka' - Zizan Razak

Zizan berharap setiap insan bergelar anak menghargai masa bersama ibu dan bapa sementara mereka masih ada.
Zizan berharap setiap insan bergelar anak menghargai masa bersama ibu dan bapa sementara mereka masih ada.
A
A
A

SAMBUTAN Aidilfitri bukan hanya sekadar tanda meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga peluang untuk menghargai masa bersama keluarga tercinta.

Bagaimanapun dewasa ini, ada segelintir anak muda yang terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga kerana komitmen dan kekangan kerja, serta tidak kurang juga yang mempunyai asbab lain untuk tidak pulang ke kampung.

Namun bagi Mohd Razizan Abdul Razak atau lebih dikenali dengan Zizan Razak, bagi mereka yang tidak terikat dengan kerja atau perkara lain yang menyesakkan, seharusnya pulang untuk meraikan Lebaran bersama keluarga tercinta, terutamanya ibu dan ayah yang masih ada.

Ujar bintang berusia 39 tahun itu, pada umur sebegini, dia acap kali terdengar nasihat untuk menghargai ibu dan bapa yang masih ada.

"Saya ada ramai rakan usia sebaya yang sering berkata, kalau mak atau ayah masih ada, hargailah masa bersama mereka, sebab bila mereka tiada, yang tinggal hanyalah kenangan dan rindu tidak berpenghujung.

"Kita sekarang pun, tak tahu siapa yang pergi dulu. Jadi ketika masih ada kesempatan ini, gunakan sebaiknya.

"Kalau tidak ada kekangan yang mendesak, masalah lain, pulanglah berhari raya bersama ibu dan bapa," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah anak kelahiran Dungun, Terengganu itu, sambutan hari Aidilfitri buatnya terasa kurang seri selepas pemergian nenda tersayang, Zainoon Abdullah, empat tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Zizan, dia kini meraikan Aidilfitri di ibu kota, ditemani bonda tercinta, Anai Ibrahim.

"Ibu memang duduk dengan saya dan selepas nenek meninggal, kami memang meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.

"Saya tidak nafikan, walaupun saya masih ada emak, sambutan Aidilfitri terasa kurang seri selepas nenek saya meninggal. Rutin sebelum ini tidak sama lagi. Atas sebab itu saya tegaskan, kalau masih ada ibu bapa, pulanglah untuk meraikan masa indah itu bersama mereka," ujarnya yang bersedia untuk memenuhi undangan rumah terbuka sekiranya berkelapangan.

Penghargaan

Sementara itu, ditanya mengenai hadiah kereta mewah yang dihadiahkan kepada ibunya baru-baru ini, Zizan berkata, dia hanya cuba menunaikan impian ibunya.

Bagaimanapun hadiah tersebut bukan sama sekali untuk membalas jasa kerana bagi bintang filem Polis Evo itu, jasa kedua ibu bapa tidak terbalas waima diberi hadiah seluruh dunia sekali pun.

"Ibu memang dah lama minat kereta tersebut, jadi saya kira bila lagi untuk saya hadiahkan. Lagipun saya mampu dan tak salah untuk saya usaha berikan.

"Bagi saya apa yang penting saya dapat buat dia tersenyum, nak kata balas jasa itu tidaklah kerana jasa ibu tidak mampu saya balas," katanya.

Zizan berkata, bagi mana-mana insan bergelar anak, jangan tunggu kemampuan wang ringgit untuk menghargai ibu bapa, sebaliknya buatlah apa sahaja yang termampu.

"Bagi ibu bapa, mereka tahu cara kita menghargai mereka. Hargai itu luas, bukan bergantung pada material hadiah itu semata-mata.

"Apa yang penting kita sudah buat sehabis baik untuk bahagiakan ibu atau bapa kita. Kalau terjadi apa-apa insya-ALLAH kita tidak akan menyesal," ujarnya menutup perbualan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!