Warga Scotland, Korea teruja pertama kali sambut raya di Malaysia

Alana
Alana
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap kali menjelang sambutan Aidilfitri, rata-rata umat Islam khususnya di negara ini masing-masing teruja pulang ke kampung halaman lebih awal untuk membuat persiapan perayaan itu.

Begitu juga bagi seorang pempengaruh warganegara Scotland, Alana Dunsmore yang turut tidak melepaskan peluang tersebut dan mengakui teruja menyambut perayaan itu di Malaysia buat kali pertama sejak memeluk Islam beberapa bulan lalu.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah meraikan perayaan tersebut malah hanya melihat keterujaan orang ramai menyambutnya melalui media sosial dan tayangan filem sahaja.

"Hampir lima tahun saya mempelajari tentang Islam dan akhirnya kali ini saya dapat merasai sendiri nikmat meraikan hari raya yang sering saya lihat di media sosial sahaja.

"Dahulu saya tidak faham kenapa hari raya sangat bermakna untuk diraikan tetapi apabila saya mula berpuasa kali pertama pada tahun ini, saya akui seronok berpeluang menyaksikan pertembungan budaya dalam meraikan kemenangan tersebut," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Alana menunaikan solat di masjid.
Alana menunaikan solat di masjid.

Mengulas lanjut, Alana berkata, dia telah membuat persiapan secara sederhana seminggu sebelum perayaan itu.

"Walaupun teruja dan kali pertama menyambut hari raya, persiapan hanya sederhana sahaja mengikut nasihat suami. Saya membeli sepasang baju kurung bewarna merah jambu dan sedondon dengan suami untuk dipakai pada raya pertama.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga pulang ke kampung suami di Kelantan seminggu lebih awal kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas dan merasai suasana meriah yang mana saudara jauh berjumpa dan berkumpul di sana.

"Paling seronok apabila saya berpeluang mencuba pelbagai jenis makanan yang disediakan khusus untuk hari raya seperti rendang, lemang, ketupat dan sebagainya," katanya lagi.

Sementara itu, seorang warganegara Korea yang juga kali pertama menyambut hari raya di Malaysia, Soo Woo Ri berkata, dia telah membeli lapan pasang baju kurung sebagai persediaan menantikan ketibaan perayaan tersebut.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata, dia mahu merasai pengalaman tersebut selepas mendengar dan melihat keterujaan rakan-rakannya dari Malaysia mengenai kemeriahan serta keseronokan menyambutnya.

Alana bersama suaminya.
Alana bersama suaminya.

"Walaupun bukan beragama Islam, saya juga ada cuba beberapa kali untuk berpuasa dan hanya 14 hari sahaja yang saya mampu.

"Saya kagum dengan masyarakat Islam di negara ini yang mampu bertahan untuk sebulan dan sekarang saya faham mengapa ramai yang beritahu saya bahawa hari raya disambut untuk meraikan kemenangan.

"Saya juga tidak mahu lepaskan peluang ini malah mengikuti rakan saya untuk pulang ke kampung halaman untuk merasai suasana sebenar sambutan tersebut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!