Sambut raya di bandar sebab tiada kampung

Gambar dari kiri: Noor Edreena dan Ruhaida
Gambar dari kiri: Noor Edreena dan Ruhaida
A
A
A

SHAH ALAM - Pengalaman menyambut Aidilfitri sepanjang tinggal di bandar tidak kurang meriahnya, namun suasana tersebut sudah tentu tidak sama seperti meraikan Syawal di kampung.

Pegawai tadbir, Noor Edreena Mohd Romzan, 28, berkata, selepas mendirikan rumah tangga di usia 26 tahun, dia akhirnya dapat merasai nikmat menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman suaminya di Lanchang, Pahang.

Menurut wanita yang berasal dari Selangor itu, sepanjang menyambut Syawal di bandar, kebanyakan kawasan perumahan tetap meriah dengan amalan kunjung mengunjung, malah tradisi itu masih diteruskan walaupun kebanyakan warga kota pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Setelah berkahwin pada usia 26 tahun, baru saya berpeluang untuk rasa kelainan beraya di kampung halaman suami di Lanchang, Pahang dan pertama kali berkumpul bersama keluarga sehari sebelum Aidilfitri memasak bersama cukup menyeronokkan.

“Pengalaman beraya di bandar biasanya kami akan berkunjung ke rumah saudara-mara yang lain berikutan ramai sudah berhijrah di Kuala Lumpur dan Selangor, tetapi kemeriahannya tetap terasa kerana tradisi kunjung-mengunjung masih lagi wujud,” katanya kepada Sinar Harian.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, menurut penjawat awam, Ruhaida Razali, 28, sambutan Aidilfitri di bandar kadangkala sepi kerana orang ramai sudah pulang beraya di kampung.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu, suasana pagi Syawal pertama di bandar sunyi menyebabkan dia kadangkala mengikut rakan-rakan nya beraya di kampung halaman mereka kerana ingin merasai suasana kemeriahan di sana.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-duanya sangat berbeza. Macam di bandar tradisi kunjung mengunjung kian pudar dan kami perlu tunggu rumah terbuka untuk beraya. Pusat beli-belah jadi tempat kami menghabiskan waktu.

“Saya suka meraikan Syawal di kampung kerana penuh dengan panjut, suasana yang riuh gotong-royong membuat juadah istimewa Aidilfitri dan juga bermain bunga api di halaman rumah. Suasana begini susah nak dapat di bandar,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28