Aidilfitri: Ayam kicap, rendang air tangan ibu antara diingati

Dari kanan Mohd Rahmat, Badrul Zaidi dan Mohamad Khairul terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri bersama-sama keluarga demi menjaga keamanan negara.
Dari kanan Mohd Rahmat, Badrul Zaidi dan Mohamad Khairul terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri bersama-sama keluarga demi menjaga keamanan negara.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pengalaman bekerja semasa Hari Raya Aidilfitri sememangnya berbeza, namun itu pengorbanan terpaksa dilakukan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Haji Dorani bertugas demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.

Lans Koperal Mohamad Khairul Anuar, 30, berkata, meskipun sudah empat tahun tidak pulang beraya, namun semua itu tidak mematahkan semangat dan tanggungjawabnya untuk bersama-sama rakan lain menjaga negara.

"Rasa rindu pada keluarga dan juadah Aidilfitri memang dirasai lebih-lebih lagi dalam keadaan semua keluarga berkumpul untuk sambut lebaran bersama-sama.

"Tetapi keutamaan saya ketika ini adalah untuk menumpahkan ketaatan dan kesetiaan untuk menjaga keselamatan negara," katanya yang berasal dari Cheras.

Begitu pun, katanya, dia dan isterinya, Nurul Fatizaidayu Harun, 33, serta dua anak mereka berusia tiga dan enam tahun tetap bersama-sama memilih tema baju raya sedondon.

Sebahagian anggota Batalion 4 PGA di Pos Haji Dorani bertugas demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.
Sebahagian anggota Batalion 4 PGA di Pos Haji Dorani bertugas demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.

"Walaupun empat tahun tak pulang beraya, saya dan isteri akan memastikan kami sekeluarga mengikut tema baju setiap tahun.

"Bagi mengubat kerinduan, saya akan kumpul dan sunting gambar hari raya kami untuk dijadikan kenang-kenangan," tambah anak kelahiran Cheras itu.

Artikel Berkaitan:

Bagi Lans Koperal Mohd Rahmat Musa, 33, masakan rendang dan ayam kicap hasil air tangan ibu antara yang diingati setiap kali tiba lebaran.

Mohd Rahmat berasal dari Sarawak memberitahu, tiada lebih istimewa apabila dapat beraya bersama dengan keluarga tercinta, namun demi tugas kepada pertiwi semua itu perlu diharungi dengan istiqamah.

"Pastinya kenangan gelak tawa mereka jadi perangsang kuat untuk saya bertugas sepanjang Syawal ini," tambahnya.

Katanya, dia mungkin hanya pulang ke kampung halaman pada November depan untuk bertemu isterinya, Nur Srieyawati Ahit, 27, dan anak mereka, Muhammad Muizzuddin, yang berusia dua tahun.

"Saya sudah tekad, apabila menjadi polis inilah yang perlu kita korbankan, tetapi sambutan tetap diraikan bersama rakan lain," jelasnya.

Anggota Batalion 4 PGA di Pos Haji Dorani tabah apabila tidak dapat pulang beraya sempena Aidilfitri ini.
Anggota Batalion 4 PGA di Pos Haji Dorani tabah apabila tidak dapat pulang beraya sempena Aidilfitri ini.

Koperal Badrul Zaidi Mat Bani, 36, pula memberitahu, walaupun jarak memisahkan, namun dengan teknologi masa kini mereka masih boleh berhubung.

Menurut Badrul Zaidi, dia selalu berhubung dengan isterinya, Nor Zakiah Abd Ghani, 37, dan tiga anak mereka melalui panggilan video.

"Setidaknya dengan adanya teknologi kita dapat berhubung antara satu sama lain. Pada pagi raya nanti, bolehlah kami sama-sama bermaaf-maafan.

"Saya syukur kerana keluarga memahami tugas di perantauan, tapi bagi saya komitmen ini harus saya galas dengan penuh rasa ikhlas dan tanggungjawab," katanya.