X

Kindly register in order to view this article
!

Dr Wan Azizah hadiahkan madu kelulut buat Momota

Dr Wan Azizah bercakap kepada pemberita tempatan dan antarabangsa pada sidang media selepas melawat pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota yang terlibat dalam kemalangan awal pagi semalam di Hospital Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini melawat pemain badminton nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota di Hospital Putrajaya di sini dan menghadiahkannya madu kelulut Malaysia bagi membantu pemulihan beliau.

“Saya bawakan madu kelulut untuknya agar beliau cepat sembuh,” kata Dr Wan Azizah yang juga penaung Persatuan Badminton Malaysia ketika ditemui pemberita di lobi hospital itu.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami luka pada beberapa bahagian muka termasuk di sinus maksila dan patah tulang hidung dalam perlanggaran melibatkan beliau, kakitangan sokongannya dan seorang pembantu sistem Hawkeye Persekutuan Badminton Dunia semalam.

Sebuah van yang dalam perjalanan membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Selain Momota, mereka yang cedera ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, (luka pada tulang kering sebelah kanan); pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, (konkusi otak dan fraktur tertutup) dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye (luka pada kepala dan bahagian bawah kaki).

Pemandu van, B Nageswarau, 24, maut di tempat kejadian.

Dr Wan Azizah berkata, Momota yang patah tulang hidung memerlukan masa untuk bengkaknya surut.

Semasa lawatan selama 30 minit itu, Dr Wan Azizah berkata, beliau dimaklumkan Momota dan tiga pegawai sukan terlibat dijaga dengan baik dan menerima rawatan dan perhatian terbaik daripada Hospital Putrajaya.

“Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih,” katanya.

Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohd Siv Azhar Merican Abdullah berkata, pihak hospital perlu memantau Momota untuk satu malam lagi.

Ketika ditanya bila Momota akan dibenarkan keluar hospital, beliau berkata: “Semestinya bukan hari ini. Kami mahu memantau beliau dengan rapi. Beliau dijaga dengan baik, jangan risau.” - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus