Lima pemimpin kanan PKR dilantik Sekretariat Pejabat Presiden Parti

Anwar (tiga dari kiri) bersama lima pemimpin kanan PKR yang dilantik sebagai anggota Sekretariat Pejabat Presiden parti itu. Foto Facebook PKR
Anwar (tiga dari kiri) bersama lima pemimpin kanan PKR yang dilantik sebagai anggota Sekretariat Pejabat Presiden parti itu. Foto Facebook PKR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilantik sebagai anggota Sekretariat Pejabat Presiden parti itu, yang baru ditubuhkan semalam.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook parti itu memaklumkan Sekretariat Pejabat Presiden PKR itu, dianggotai Datuk Romli Ishak sebagai Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden dan juga koordinator sekretariat.

Beliau berkata, Onn Abu Bakar, Sim Tze Tzin, Manivanan Gowin dan Juwairiya Zulkifli, pula masing-masing dilantik sebagai Setiausaha Politik Pejabat Presiden.

Juwairiya juga dilantik sebagai setiausaha sekretariat itu.

"Sekretariat Pejabat Presiden diamanahkan untuk memartabatkan dan memperkasakan PKR, membantu dan menyelaras pergerakan di semua peringkat parti itu serta memantau aktiviti dan gerak kerja di semua peringkat.

"Sekretariat Pejabat Presiden juga diamanahkan untuk menyemak perlembagaan parti untuk mengisbatkan (mengesahkan) hala tuju dan masa depan PKR serta memberi pandangan dan cadangan dalam isu-isu semasa yang berbangkit dalam politik negara,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat penubuhan sekretariat itu.

Justeru, Anwar menasihatkan pimpinan dan anggota PKR untuk berganding bahu dalam menggalas tanggungjawab serta mendukung aspirasi parti, demi menjuarai hak dan kebajikan rakyat demi masa depan negara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: