Pasaran buruh Malaysia kekal stabil - Penganalisis

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran buruh Malaysia diunjurkan kekal stabil pada 2024 dengan purata kadar pengangguran pada 3.2 peratus, konsisten dengan kadar 2023 sebanyak 3.4 peratus, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

"Ia mencerminkan pertumbuhan pekerjaan berterusan. Sebahagian besarnya disebabkan oleh unjuran pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah 3.3 peratus pada suku pertama 2024 (suku keempat 2023: 3.0 peratus) dengan keseluruhan jangkaan pertumbuhan KDNK 2024 antara 4.5 hingga 5 peratus.

"Selain itu, kami menjangkakan pemulihan dalam sektor perkilangan, didorong oleh trend menaik dalam teknologi serta realisasi pelaburan diluluskan yang direkodkan tahun lepas untuk meningkatkan lagi aktiviti pengambilan pekerja dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.

Bagaimanpun, Kenanga IB berkata, isu struktur dalam pasaran buruh kekal membimbangkan terutamanya kadar pengangguran dalam kalangan belia (umur: 15-24 tahun) yang kekal pada 10.6 peratus pada Februari bagi bulan keempat berturut-turut, melibatkan kira-kira 306,600 orang.

Selain itu, Kenanga IB berkata pengangguran yang berkaitan dengan kemahiran berada pada 37.4 peratus, mencapai rekod tertinggi sebanyak 1.94 juta pada suku keempat 2023.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata pasaran buruh Malaysia dijangka terus mendapat manfaat daripada peningkatan seterusnya dalam aktiviti pelancongan dan kesan limpahan positifnya terhdap sektor berkaitan seperti perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman, penginapan serta pelaksanaan projek-projek nasional.

HLIB berpandangan bahawa persekitaran perdagangan global yang bertambah baik dan pelaksanaan projek pelaburan langsung asing dalam perancangan boleh membawa kepada keadaan pekerjaan yang lebih baik dalam sektor berorientasikan eksport.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara yang akan dilancarkan oleh kerajaan pada Mei depan dijangka membantu mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030, katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28